Ketibaan pelancong antarabangsa Q1 susut

Ketibaan pelancong antarabangsa Q1 susut

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei susut 2.8 peratus pada suku pertama (Q1) 2016 iaitu sebanyak 56,431 pelancong berbanding 58,038 pada suku pertama tahun lalu.

Penurunan tersebut adalah disebabkan oleh flaktuasi tahunan yang bermusim, permintaan perjalanan yang rendah dan pertumbuhan yang negatif dari pasaran-pasaran utama.

Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dalam satu kenyataan berkata, pasaran dari Australia/ New Zealand telah menyumbangkan penurunan sebanyak 18.2 peratus, diikuti dengan pasaran dari ASEAN sebanyak 4.6 peratus dan pasaran dari Jarak Jauh (Long Haul) sebanyak 1.1 peratus.

Manakala pasaran dari Timur Jauh seperti China, Hong Kong dan Jepun terus menunjukkan pertumbuhan yang positif iaitu sebanyak 8.3 peratus.

Menurut kenyataan itu lagi, antara lima negara teratas bagi ketibaan pelancong pada Q1 2016 adalah Malaysia kerana kemudahan dari segi kemasukan melalui udara dan kedudukan yang berhampiran dengan sumbangan sebanyak 25.8 peratus (26.4 peratus pada Q1 2015), diikuti oleh China sebanyak 17.7 peratus (16.5 peratus pada Q1 2015), Indonesia sebanyak 9.4 peratus (9.4 peratus pada Q1 2015), Filipina sebanyak 7.5 peratus (7.4 peratus pada Q1 2015) dan Singapura sebanyak 6 peratus (6.8 peratus pada Q1 2015).

Secara keseluruhan, kelima negara teratas ini telah menyumbangkan sebahagian besar daripada ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini pada Q1 2016 iaitu sebanyak 66.3 peratus.

Jabatan Kemajuan Pelancongan berkata, pasaran utama bagi Q1 2016 adalah pasaran dari ASEAN iaitu sebanyak 52.4 peratus (53.4 peratus pada Q1 2015), diikuti dengan pasaran Timur Jauh sebanyak 23.8 peratus (21.4 peratus pada Q1 2015), pasaran Jarak Jauh seperti Eropah dan Timur Tengah sebanyak 12.6 peratus (12.4 peratus pada Q1 2015) dan dari pasaran Australia dan New Zealand keduanya telah menyumbangkan sebanyak 5.1 peratus (6.0 peratus pada Q1 2015).

Ia berkata, tujuan utama bagi kemasukan pelancong ke Negara Brunei Darussalam adalah untuk tujuan beriadah dan bercuti dengan sumbangan sebanyak 42.2 peratus (37.6 peratus pada Q1 2015).

Manakala 17.4 peratus adalah datang daripada pelancong dengan tujuan untuk perniagaan (18.5 peratus pada Q1 2015), pelancong membuat persinggahan sementara (Transit) sebanyak 15.8 peratus (14.8 peratus pada Q1 2015), melawat rakan dan saudara-mara (VFR) sebanyak 11.6 peratus (11.2 peratus pada Q1 2015), Kerajaan sebanyak 2.7 peratus (2.6 peratus pada Q1 2015), pameran sebanyak 0.9 peratus (0 peratus pada Q1 2015), lain-lain tujuan sebanyak 8.0 peratus (8.4 peratus pada Q1 2015) dan tidak dinyatakan sebanyak 1.4 peratus (6.9 peratus pada Q1 2015).

China dan Malaysia merupakan antara negara yang terus menjadi penyumbang utama kepada pasaran riadah dan percutian sebanyak 55.7 peratus dan masing-masing menyumbangkan sebanyak 37.5 peratus dan 18.2 peratus.

Purata tempoh penginapan bagi hotel pada Q1 2016 adalah 2.2 hari berbanding dengan 2.1 hari dalam masa yang sama pada tahun lepas. Manakala, purata kadar penginapan hotel bagi Q1 2016 adalah sebanyak 40.7 peratus berbanding dengan Q1 2015 yang mana jumlah tersebut adalah sebanyak 37.3 peratus.

Bagi Q1 2016, jumlah tempat penginapan adalah sebanyak 81 premis yang terdiri daripada taraf resort mewah (seperti The Empire Hotel & Country Club), taraf antarabangsa (seperti Hotel Radisson), taraf perniagaan, penginapan bajet, lodging, apartmen, guest house dan homestay.

Jumlah tempat penginapan untuk hotel, resort dan apartmen adalah sebanyak 50 buah, homestay sebanyak 14 buah dan guest houses and rest houses sebanyak 15 buah dan Government Guest Houses sebanyak dua buah.

Manakala, jumlah keseluruhan bilik dan katil tersedia adalah sebanyak 4,084 buah bilik dan 5,777 buah katil. Pada Q1 2015, jumlah tempat penginapan telah mencatatkan sebanyak 69 buah premis diikuti dengan 3,561 buah bilik dan 5,028 buah katil daripada kategori-kategori tempat penginapan yang sama.

Bagi Q1 2016, jumlah agensi pelancongan yang berdaftar dibawah Jabatan Kemajuan Pelancongan ialah sebanyak 58 buah syarikat jika dibandingkan dengan masa yang sama pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 57 buah syarikat. Kesemua agensi pelancongan ini adalah berdasarkan kepada perjalanan inbound dan outbound.

ARTIKEL YANG SAMA