Ketibaan pelawat a’bangsa meningkat

Ketibaan pelawat a’bangsa meningkat

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Jumlah ketibaan pelawat antarabangsa di Negara Brunei Darussalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada tahun 2015 telah mencapai 218,213 pelawat berbanding hanya 200,989 orang pada tahun sebelumnya, menurut statistik Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Tahun 2015 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 8.6 peratus disebabkan oleh permintaan perjalanan yang tinggi dan pertumbuhan positif dari pasaran-pasaran utama yang terdiri daripada negara-negara ASEAN, rantau Timur Jauh seperti Cina dan Jepun, Australia dan pasaran jarak jauh seperti United Kingdom.

Secara kolektif, pasaran Timur Jauh telah menyumbangkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 32 peratus diikuti oleh pasaran ASEAN sebanyak 4.7 peratus manakala pasaran Australia dan New Zealand dan Jarak jauh masing-masing menyumbangkan pertumbuhan yang mantap sebanyak satu peratus.

Negara yang mencatatkan ketibaan pengunjung teratas bagi tahun 2015 adalah dari Malaysia disebabkan kemudahan kemasukkan melalui udara dan kedudukan berhampiran dengan Negara Brunei Darussalam. Malaysia telah menyumbang jumlah ketibaan sebanyak 26.6 peratus (27.3 peratus pada tahun 2014), diikuti oleh Cina sebanyak 16.9 peratus (13.2 peratus pada tahun 2014), Filipina sebanyak 8.2 peratus (9.2 peratus pada tahun 2014), Indonesia sebanyak 7.9 peratus (7.7 peratus pada tahun 2014) dan Singapura sebanyak 7.4 peratus (8.2 peratus pada tahun 2014).

Secara keseluruhan, lima buah negara teratas ini telah menyumbangkan sebahagian besar kepada ketibaan pelawat antarabangsa pada tahun 2015 iaitu sebanyak 67 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelawat antarabangsa.

Pasaran utama bagi tahun 2015 adalah dari ASEAN iaitu sebanyak 54 peratus (56 peratus pada tahun 2014), diikuti dengan pasaran Timur Jauh sebanyak 21.8 peratus (17.9 peratus pada tahun 2014), pasaran Jarak Jauh seperti Eropah dan Timur Tengah sebanyak 12.4 peratus (13.4 peratus pada tahun 2014) dan dari pasaran Australia dan New Zealand kedua-duanya menyumbang sebanyak 5.3 peratus (5.8 peratus pada tahun 2014).

Mengikut kenyataan dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, tujuan utama kemasukan pelawat ke Negara Brunei Darussalam adalah untuk tujuan riadah dan bercuti dengan sumbangan sebanyak 40.7 peratus (39 peratus pada tahun 2014).

Manakala 19.6 peratus adalah datang daripada pelawat dengan tujuan untuk perniagaan dan Mesyuarat Insentif Konvensyen dan Pameran (MICE) (22.4 peratus pada tahun 2014), membuat persinggahan sementara (Transit) sebanyak 11 peratus (9.7 peratus pada tahun 2014), melawat rakan dan saudara-mara (VFR) sebanyak 12.1 peratus (12.4 peratus pada tahun 2014) dan untuk urusan kerajaan sebanyak tiga peratus (3.6 peratus pada tahun 2014).

Dalam perangkaan tersebut, Cina dan Malaysia merupakan antara negara penyumbang utama kepada pasaran riadah dan percutian dengan catatan 55.3 peratus dan masing-masing menyumbangkan sebanyak 36 peratus dan 19.3 peratus.

Mengenai statistik pengginapan dalam tahun 2015, secara purata tempoh penginapan pelancong yang datang ke negara ini adalah 5.9 hari berbanding 6.0 hari dalam tahun 2014.

Bagi tempat-tempat penginapan dalam tahun 2015, sejumlah 74 pertubuhan terdiri daripada tempat peranginan mewah (The Empire Hotel & Country Club), Hotel Antarabangsa (Hotel Radisson), piawaian perniagaan; belanjawan; lodging; pangsapuri, rumah tetamu dan homestay.

Jumlah katil tersedia ialah 5,297 buah dan bilik 3,680 buah. Manakala, jumlah pertubuhan untuk hotel, resort dan pangsapuri sebanyak 46 buah, homestay sebanyak 14 buah dengan rumah tetamu dan rumah rehat sebanyak 14 buah. Sedangkan pada tahun 2014, jumlah pertubuhan yang dicatatkan sebanyak 69 buah diikuti dengan 5,107 buah katil dan 3,678 bilik daripada kategori tempat penginapan yang sama.

Secara purata, kadar penginapan hotel bagi tahun 2015 adalah 37.9 peratus berdasarkan 33 tempat penginapan. Jika dibandingkan dengan tahun 2014, kadar penginapan hotel daripada 13 tempat penginapan hanya 40.3 peratus sahaja.

ARTIKEL YANG SAMA