Ketidakaktifan fizikal banyak mudaratnya

Ketidakaktifan fizikal banyak mudaratnya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Berehat di atas kerusi atau sofa memang mudah, namun terlalu mengambil mudah kehidupan sebenarnya mempercepatkan lagi proses penuaan di lewat usia.

Tetapi tidak terlalu lewat untuk mula menjadi lebih aktif, kerana ia merupakan kunci untuk kekal cergas, lincah dan bebas, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Menurut beliau, senaman tetap boleh membantu mengurangkan kesan beberapa penyakit seperti osteoporosis, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

“Aktiviti fizikal boleh memperbaiki kualiti tidur, menghalang kejatuhan dan retak tulang, dan memperbaiki angin tidak baik dan memori,” kata beliau lagi dalam perutusannya sempena Hari Fisioterapi Sedunia 2016 yang dikeluarkan hari ini.

Sebaliknya, ujar Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain, tidak aktif secara fizikal boleh dilihat sebagai isu global kerana ia bukan sahaja dapat dikatakan penyebab penyakit-penyakit dan kematian awal, tetapi juga menyebabkan bebanan besar ke atas ekonomi.

Beliau memetik kajian pertama di dunia, pada tahun 2013, yang menunjukkan bahawa ketidakaktifan fizikal telah menelan belanja $67.5 bilion di seluruh dunia bagi perbelanjaan penjagaan kesihatan dan kehilangan produktiviti.

Oleh itu, aktiviti fizikal yang kerap dan aktif bergerak boleh menghapuskan masalah-masalah ini dan menjadi salah satu perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk kekal bebas.

Sebab itulah, katanya, Hari Fisioterapi Sedunia pada tahun ini membawa tema ‘Movement for Health – Add Life to Years.’

Menteri Kesihatan berkata, hari ini merupakan peluang bagi pakar-pakar fisioterapi di Brunei dan seluruh dunia meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan orang ramai sihat, bergerak dan bebas, dan peranan yang boleh dimainkan oleh pakar-pakar fisioterapi.

Sebagai sebahagian daripada objektif Kementerian Kesihatan ke arah keterlibatan dengan orang ramai untuk mencegah masalah-masalah berpanjangan dan membantu mengatasi kekangan-kekangan fizikal, beliau berkata, pakar-pakar fisioterapi di Brunei Darussalam akan memfokuskan ke atas menangani tiga isu utama berkaitan dengan tema ini.

“Pertama, Kementerian Kesihatan akan terus menyokong warga emas untuk bebas dan mengekalkan kualiti kehidupan mereka. Kedua, kita mesti menangani penyakit tidak berjangkit yang menjejaskan kebebasan pada usia tua.

“Ketiga, apabila perlu, pakar-pakar fisioterapi boleh bekerjasama dengan individu-individu dalam membangunkan program-program latihan yang selalunya penting untuk mempromosikan kebebasan,” jelas beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain seterusnya menyatakan, menggalakkan aktiviti kesihatan dan fizikal dalam masyarakat bermula dengan semua orang dan banyak manfaat yang boleh didapati daripada aktiviti-aktiviti sedemikian, termasuk pencegahan awal dan sekunder penyakit kardiovaskular, diabetes, beberapa penyakit kanser tertentu (terutamanya kanser payudara dan kolon) dan osteoporosis.

Sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana lima hari seminggu boleh mengurangkan risiko beberapa penyakit tidak berjangkit biasa, tegas beliau.

Manfaat-manfaat lain adalah membantu mengurangkan berat badan, meningkatkan keyakinan, meningkatkan keseluruhan kesihatan mental, menguatkan sistem imunisasi, memperbaiki kekuatan fizikal, menguatkan sendi-sendi dan kestabilan, serta memperbaiki kualiti tidur.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain turut menasihatkan bahawa memastikan orang ramai terus bergerak dan bebas bukan tanggungjawab kementerian sahaja, namun semua pihak berkepentingan seperti agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, para pemimpin akar umbi dan setiap individu perlu memainkan peranan mereka.

“Hari Fisioterapi Sedunia 2016 menandakan peluang bagi kita membuat penilaian dan tanpa mengira usia kita boleh bekerjasama ke arah mencapai ‘Movement for Health – Adding Life to Years’.”

Beliau mengakhiri perutusannya itu dengan menyampaikan penghargaan kepada pasukan pakar fisioterapi yang berdedikasi atas kerja keras berterusan mereka dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan orang ramai sihat, bergerak dan bebas.

ARTIKEL YANG SAMA