Kettha pengerusikan SOME-33 di Kota Kinabalu

Kettha pengerusikan SOME-33 di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 27 Mei (Bernama) – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Tenaga ASEAN Ke-33 dan Mesyuarat Berkaitan (SOME-33) berlangsung di sini hari ini, dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Loo Took Gee.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, selain Loo yang mengetuai delegasi negara, pegawai kanan lain yang terlibat terdiri daripada wakil Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Tenaga Lestari Malaysia.

Mesyuarat SOME, yang diadakan secara bergilir antara 10 negara anggota ASEAN, menjadi platform kepada pegawai berkenaan membincangkan isu-isu tenaga serantau dan global serta merapatkan kerjasama ASEAN dalam bidang tenaga.

Mesyuarat tersebut dibahagikan kepada lapan saluran kerja spesifik bagi menjamin pencapaian kerjasama yang lebih efektif, cepat dan berkesan.