Ketua Audit Negara bentang laporan awal 1MDB kepada PAC

Ketua Audit Negara bentang laporan awal 1MDB kepada PAC

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) – Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, hari ini membentangkan laporan awal mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bangunan Parlimen.

Laporan yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak itu dibentangkan di hadapan PAC yang diketuai Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed kira-kira 10.30 pagi dan dijangka selesai sekitar 4 petang ini.

Media dibenarkan mengambil visual sebelum sesi itu dimulakan.

Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan ketua audit negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

PAC sebelum ini dilaporkan memulakan prosiding siasatan pada 19 Mei berhubung isu yang dihadapi syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

PAC mengambil keputusan memulakan siasatan terhadap 1MDB susulan mesyuarat khas pada 30 April lepas.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Nur Jazlan berkata PAC mendesak 1MDB untuk menyerahkan dokumen yang dikehendaki Ketua Audit Negara (AG) bagi melengkapkan dan memuktamadkan proses pengauditan.

Beliau berkata dokumen berkenaan termasuk penyata bank dan dokumen perjanjian yang disifatkan mustahak dalam pengauditan yang sedang dijalankan.

“Kita minta pengurusan 1MDB bagi semua dokumen yang diminta, kenyataan bank, perjanjian. AG masih belum dapat kerjasama baik (dari 1MDB).

“Mereka (1MDB) telah kemukakan (dokumen) tetapi belum lengkap. Sesetengah dokumen mungkin penting untuk menyudahkan dan menyiapkan laporan audit,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA