Ketua bantuan PBB pantau situasi di Syria

Ketua bantuan PBB pantau situasi di Syria

GENEVA, 11 Dis (Reuters) – Penyelaras Bantuan Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephen O’Brien akan pergi ke Syria esok (Sabtu) untuk berbincang bersama para pegawai kerajaan untuk merangsang bantuan kepada 13.5 juta orang yang terkesan dengan perang saudara di sana, menurut kenyataan hari ini.

Selain mengunjungi Damsyik, O’Brien juga akan membuat lawatan, bergantung pada situasi keselamatan, sebelum pulang pada Isnin, menurut jurucakapnya, Jens Laerke.

Beliau kali terakhir pergi ke Syria pada Ogos, selepas menyandang jawatannya.

“Beliau akan pergi ke sana untuk melihat sendiri situasi di lapangan, apa agensi-agensi bantuan lakukan dan terutamanya untuk cuba menumpukan semula perhatian dunia pada penderitaan kira-kira 13.5 juta orang di Syria yang terdesak memerlukan bantuan dan perlindungan,” kata Laerke memberitahu para wartawan di Geneva.

O’Brien memberitahu Reuters dalam temu bual kelmarin bahawa dia berharap untuk melihat lebih banyak gencatan senjata tempatan serupa dengan perjanjian yang dipersetujui minggu ini untuk menamatkan peperangan di bandar Homs, daerah Waer.

Gencatan senjata seumpamanya mungkin membantu untuk mendapatkan bantuan kepada hampir 400,000 orang yang dikepung dan 4.5 juta yang tinggal di kawasan yang sukar dicapai.

Beberapa diplomat mengatakan gencatan senjata itu mungkin cara yang paling terbaik untuk membawa keamanan secara beransur-ansur ke Syria, dengan lebih 250,000 orang telah terbunuh semasa konflik hampir lima tahun.

PBB juga berharap semasa rundingan damai antara kerajaan Syria dan pembangkang bulan depan itu, turut ditemani dengan gencatan senjata kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA