Ketua baru bagi tiga syarikat gergasi minyak

Ketua baru bagi tiga syarikat gergasi minyak

SHANGHAI, 5 Mei (AFP) – China telah mengganti ketua tiga syarikat tenaga terbesar, kata firma dalam kenyataan berasingan, tatkala spekulasi tersebar mengenai pembaharuan dalam industri minyak.

Parti Komunis China mengawal pengurusan perusahaan milik negara dengan kuasa untuk merombak pemimpin mereka.

Syarikat gergasi perindustrian China National Petroleum Corp (CNPC) berkata dalam satu kenyataan bahawa pengerusi Zhou Jiping telah meletak jawatan disebabkan faktor umur, dijangka diganti oleh Wang Yilin, sebelumnya ketua firma minyak luar pesisir CNOOC.

CNOOC – yang terkenal di dunia dengan pemerolehan Nexen berjumlah berbilion dolar di Kanada – berkata presidennya telah dinaikkan pangkat untuk mengisi jawatan Wang.

Dalam perkembangan berasingan, Sinopec berkata pengerusinya Fu Chengyu telah diganti oleh Wang Yupu daripada Akademi Kejuruteraan China, juga disebabkan faktor usia. Ketiga-tiga pengumuman keluar lewat semalam.

Media negeri China berkata kerajaan merancang melaksanakan pembaharuan struktural dalam industri tenaga pada tahun ini, dengan laporan berkata perubahan mungkin termasuk satu gabungan di antara CNPC dan Sinopec. Kedua-dua syarikat telah dua kali menafikan spekulasi gabungan.

“Pemimpin baru akan mempunyai peluang lebih baik dan kurang bebanan untuk melaksanakan pembaharuan dengan cepat, itulah perubahan kepimpinan,” beritahu Gordon Kwan, ketua penyelidikan minyak dan gas serantau di Nomura, kepada Bloomberg News.

Media negeri berkata pada awal bulan ini bahawa China sedang menimbang untuk menggabung berpuluh perusahaan milik kerajaan terbesar untuk menubuhkan kira-kira 40 syarikat negara daripada jumlah 112 sekarang.

Namun agensi kerajaan yang mengendali perusahaan tersebut, Suruhanjaya Pentadbiran dan Penyeliaan Aset milik kerajaan, juga telah menyangkal laporan berkenaan.

Pembaharuan industri tenaga akan dilakukan tatkala ketiga-tiga syarikat minyak utama China bergelut dengan harga minyak mentah yang lebih rendah.

Cawangan CNPC yang disenarai, PetroChina,mencatat kemerosotan 82 peratus dalam keuntungan bersih untuk suku pertama,selepas kemerosotan 17 peratus sepanjang tahun 2014.