Ketua baru Pejabat Komersial dan Ekonomi China kunjungi PPPMB

Ketua baru Pejabat Komersial dan Ekonomi China kunjungi PPPMB

Oleh Hajah Saemah Kepli

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB), hari ini, telah menerima kunjungan daripada ketua baru Pejabat Komersial dan Ekonomi Kedutaan Republik China di Negara Brunei Darussalam, Zhu Rong di Pejabat PPPMB, Beribi Gadong, di sini.

Zhu Rong yang diiringi mantannya yang akan kembali ke China dalam masa terdekat, Fang Jiawen, telah dialu-alukan oleh Presiden PPPMB, Dr Haji Latiff bin Chuchu serta beberapa orang ahli persekutuan tersebut, yang setakat ini mempunyai seramai 300 ahli, terdiri daripada mereka yang berkecimpung dalam pelbagai bidang perniagaan.

Dalam kunjungan tersebut, Fang Jiawen mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaannya kepada PPPMB atas kerjasama dan sokongan antara kedua-duanya, persekutuan dan kedutaan Republik China, selama beliau berkhidmat di negara ini.

Selain itu, beliau juga berharap supaya penggantinya, Zhu Rong yang berpengalaman berkhidmat di Sudan sebelum ini, akan terus mengeratkan kerjasama mereka itu nanti.

PPPMB menerima kunjungan dua pegawai Pejabat Komersial dan Ekonomi Kedutaan Republik China di Negara Brunei Darussalam.
PPPMB menerima kunjungan dua pegawai Pejabat Komersial dan Ekonomi Kedutaan Republik China di Negara Brunei Darussalam.

PPPMB mempunyai hubungan baik dengan China, seperti dalam rundingan berhubung usaha sama dengan Wilayah Autonomi Xiangnin, selain beberapa seminar dan juga program melanjutkan pengajian di China serta sebagainya.