Ketua cawangan UMNO dan dua cucu rentung

Ketua cawangan UMNO dan dua cucu rentung

SANDAKAN, 15 Nov – Ketua Cawangan UMNO Kampung Baru di sini bersama dua cucunya rentung dalam kebakaran sebuah rumah di kampung itu, malam tadi.

Mayat Osman Lawidu, 60, dikenali sebagai Pak Osman, dua cucu perempuannya Nurul Natsha, 11 dan Nurul Musdalifah 10, ditemukan bersebelahan satu sama lain.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan Anddre Andrew berkata mayat ketiga-tiga mangsa ditemukan di sebuah bilik dan dipercayai mati lemas akibat terhidu asap tebal.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat, katanya di sini, hari ini.

Anggota Bomba memeriksa mayat tiga mangsa rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Baru di Batu 18 malam tadi. – Bernama
Anggota Bomba memeriksa mayat tiga mangsa rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Baru di Batu 18 malam tadi. – Bernama

Katanya ketika kejadian hanya tiga mangsa berada di rumah tersebut, isteri Osman, anak perempuan mereka iaitu ibu kepada dua cucunya tidak berada di rumah dan berada di HDOK Sandakan menjaga seorang lagi cucu mereka yang sedang menerima rawatan.

Menurutnya panggilan kecemasan kebakaran itu diterima pada 9:30 malam dan operasi pemadaman api tamat pada 1:34 pagi, ini.

Operasi itu membabitkan 10 pegawai dan anggota bomba diketuai Anddre menggunakan dua jentera bomba dan sebuah kenderaan utiliti.

Anddre berkata punca kebakaran masih dalam siasatan. – Bernama