Ketua jabatan, agensi pelaksana perlu integriti

Ketua jabatan, agensi pelaksana perlu integriti

KOTA KINABALU, 9 Okt – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyeru agar semua ketua jabatan dan agensi pelaksana di negeri ini sentiasa membudayakan amalan inte-griti, akauntabiliti serta tadbir urus dalam menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Beliau berkata semua ketua jabatan dan agensi pelaksana di Sabah juga perlu memantau dan memastikan setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan golongan sasar di peringkat akar umbi.

“Perkara itu sangat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat.

“Aspek ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap masa agar rakyat sentiasa memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan khususnya sektor awam dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, adil dan telus di semua peringkat,” katanya.

Musa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri Sempena Hari Jadi Rasmi Ke-63 Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini malam tadi.

Seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), dan agenda pembangunan yang lain, Musa berkata kerajaan komited untuk terus melaksanakan pendekatan, strategi dan pembangunan secara holistik.

“Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi global, pertumbuhan ekonomi negeri kita dijangka akan terus kukuh dan mampan,” katanya. – Bernama