Ketua kanan Al-Qaeda maut dalam serangan

Ketua kanan Al-Qaeda maut dalam serangan

WASHINGTON, 4 Okt – Sebuah kumpulan jihad yang merupakan bekas anggota gabungan Al-Qaeda di Syria hari ini mengesahkan bahawa satu serangan udara telah membunuh seorang ketua kanannya selepas Pentagon berkata ia telah menyasarkan dirinya.

Ahmed Salama Mabrouk, seorang warga Mesir juga dikenali dengan nama samaran Abu Faraj ‘telah terkorban selepas serangan udara gabungan di barat wilayah Idlib,” kata Barisan Fateh al-Sham dalam satu kenyataan di aplikasi Telegram.

Dilahirkan pada 1956 di sub bandar Kaherah, Mabrouk dikenali sebagai seorang veteran pemimpin Al-Qaeda dan seorang komander Barisan Fateh al-Sham.

Jurucakap Pentagon, Peter Cook mengesahkan bahawa serangan udara AS berhampiran Idlib menyasarkan Mabrouk, menyifatkannya sebagai ‘salah seorang ketua kanan Al-Qaeda di Syria dan legasi pengganas Al-Qaeda yang sebelumnya mempunyai kaitan dengan Osama bin Laden’.

Bagaimanapun, para pegawai ‘masih lagi menilai keputusannya’ untuk memastikan sama ada dia yang sebenarnya telah dibunuh dalam serangan udara itu, tekan Cook.

“Kematiannya, jika disahkan, akan mengganggu dan menjatuhkan koordinasi kalangan ketua-ketua kanan AQ dan para pelampau,” ujarnya dalam satu kenyataan. – AFP