Ketua kumpulan Geng Abel berjaya diberkas

Ketua kumpulan Geng Abel berjaya diberkas

KOTA KINABALU, 11 Okt – Seorang lelaki yang diburu polis di sini kerana disyaki terbabit dalam kes samun kedai serbaneka 24 jam berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kurnia Jaya Apas, Tawau kira-kira 9 malam, Jumaat lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata suspek yang juga merupakan ketua kumpulan ‘Geng Abel’ itu dipercayai terlibat dalam enam kes samun di sini pada awal September lalu.

Suspek turut diburu polis Tawau kerana melakukan kegiatan jenayah yang sama pada Julai lepas, katanya.

“Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berdasarkan hasil maklumat orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chandra berkata suspek akan dibawa ke Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut berkaitan kes samun yang berlaku di bandar raya ini dan Penampang selepas selesai siasatan di Tawau. – Bernama