Ketua majalah Forbes anggap S’pura pusat keusahawanan

Ketua majalah Forbes anggap S’pura pusat keusahawanan

SINGAPURA, 23 Mei (BHS) – Singapura merupakan sebuah pusat tumpuan bagi keusahawanan disebabkan dasar pemerintah yang berjaya memupuk persekitaran yang membuat perniagaan baru tumbuh subuh.

Ketua Eksekutif majalah Forbes, Michael Perlis, memberikan gambaran mengenai republik ini dalam Sidang Puncak Asia Forbes Di Bawah 30 kelmarin.

“Masyarakat di negara ini mempunyai banyak aspek persamaan dengan Lembah Silikon. Walaupun terdapat hambatan seperti kos perniagaan yang tinggi, ada juga banyak faktor pendorong luar biasa,’’ jelas Perlis.

Semangat orang muda serta sikap ‘saya boleh’ yang ditunjukkan pemerintah cukup memotivasikan individu memulakan perniagaan, tambahnya.

Forum itu, yang julung-julung kali diadakan, menghimpunkan 250 usahawan muda di rantau ini bagi membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran.

Antara yang hadir ialah dua individu Melayu/Islam yang turut disenarai dalam senarai Forbes Di Bawah 30 tahun.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma pendanaan awam (crowdfunding) bagi pendidikan Skolafund, Tengku Ahmad Syamil TengkuIbrahim, 24 tahun, yang disenaraikan sebagai antara 30 usahawan perniagaan sosial terbaik di bawah 30 tahun.

Seorang lagi ialah pengasas bersama syarikat gerbang perbandingan peminjam wang Onelyst, Mohamed Abbas Sheyed Ebramsa, yang tersenarai dalam 30 usahawan di bawah 30 tahun bagi kategori kewangan dan penyedia modal.

“Sesi paling menarik dalam puncak itu ialah bertemu dengan usahawan di bawah 30 tahun yang lain di rantau ini, berkongsi apa yang kami lakukan dan cabaran yang kami hadapi sebagai usahawan muda.

“Saya juga dapat menjalinkan rangkaian hubungan niaga dengan usahawan dalam sektor yang sama dan berbeza. Daripada pertukaran itu, banyak yang dapat saya pelajari,’’ kata Tengku Ahmad Syamil, mahasiswa tahun ketiga bidang kewangan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Skolafund dibentuk setelah Tengku Ahmad Syamil mendapati ada mahasiswa menghadapi kesempitan wang akibat masalah keluarga.

Dilancarkan di Malaysia, ia telah membantu sekurang-kurangnya 20 mahasiswa mendapat biasiswa bernilai sekitar RM6,000 ($2,020). Wang itu dikumpulkan hasil derma orang ramai, yang kebanyakannya dari Malaysia dan Singapura.

Mengenai pemilihannya di Forbes, beliau berkata ia merupakan sesuatu yang tidak disangka.

“Penyenaraian itu juga merupakan satu tanggungjawab bagi saya meneruskan perniagaan sosial itu,’’ kata Tengku Ahmad Syamil, 24 tahun, bekas pelajar Madrasah Al-Irsyad dan Maktab Rendah Tampines.

Pemilihan Forbes itu dibuat berdasarkan pencalonan awam sebelum senarai muktamad dipilih oleh barisan pengadil ulung seperti Pengarah Eksekutif Yayasan Li Kashing, Solina Chau; Pengerusi Chaudhary Group, Binod Chaudhary; dan pengasas dan CEO Daughters of Cambodia, Ruth Eliott.

Bagi Mohamed Abbas, ia suatu impian yang menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai antara 30 usahawan di bawah 30 tahun bagi kategori kewangan dan penyedia modal.

“Forbes merupakan majalah yang dibaca peniaga dan dikenali kerana menyenaraikan senarai individu terkaya dan syarikat terbaik di dunia. Ia suatu impian disertakan dalam majalah sejagat terkenal ini.

“Saya gembira perniagaan teknologi baru saya diiktiraf dan membuat ibu bapa saya bangga,’’ kata Mohamed Abbas, 25 tahun, anak seorang penjual prata.

Bagi memulakan perniagaannya, beliau mengambil cuti pengajian daripada Sekolah Perniagaan Nanyang Universiti Teknologi Nanyang (NTU) selama dua tahun.

Penguasa Pembangunan Infokom (IDA) merupakan hos rakan kongsi bagi puncak itu yang diadakan sempena Minggu Inovasi Negara Bijak Singapura yang berlangsung dari Selasa lalu hingga hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA