Ketua militan Lubnan maut

Ketua militan Lubnan maut

BEIRUT, 20 Dis (Reuters) – Ketua militan Lubnan Samir Qantar terbunuh dalam serangan Israel yang mengenai sebuah bangunan di daerah Jaramana, Damsyik pada pagi hari ini, menurut kumpulan Hizbollah Lubnan dan kumpulan yang setia kepada kerajaan Syria.

Kumpuan berpengaruh, Hizbollah Lubnan berkata Qantar terbunuh dalam serangan udara Israel di daerah perumahan bandar Damsyik Syria tetapi tidak memberikan butiran.

Seorang menteri kabinet Israel menyambut baik pembunuhan Qantar hari ini tetapi tidak mengesahkan dakwaan bahawa Israel yang bertanggung jawab.

Israel telah membebaskan Qantar dalam tahun 2008 sebagai sebahagian pertukaran tahanan dengan kumpulan Hizbollah Syiah Lubnan dan sejak itu dia dipercayai telah menyertai kumpulan itu.

Dia diterima sebagai wira di Beirut dan telah berkahwin dengan seorang wanita Syiah Lubnan dari keluarga Hizbollah.

Ketua Hizbollah, Sayyed Hassan Nasrallah (depan, dua kanan) bercakap semasa perhimpunan, untuk meraikan kepulangan Samir Qantar (depan, dua kiri) dan banduan Lubnan lain yang dibebaskan di selatan Beirut, Lubnan pada gambar fail 16 Julai 2008. – Reuters
Ketua Hizbollah, Sayyed Hassan Nasrallah (depan, dua kanan) bercakap semasa perhimpunan, untuk meraikan kepulangan Samir Qantar (depan, dua kiri) dan banduan Lubnan lain yang dibebaskan di selatan Beirut, Lubnan pada gambar fail 16 Julai 2008. – Reuters

Israel telah menyerang Syria beberapa kali sejak awal peperangan lima tahun lalu, kebanyakannya memusnahkan persenjataan seperti peluru berpandu yang menurut para pegawai Israel hendak diberikan kepada Hizbollah, seteru lama Israel di negara jiran, Lubnan.

Selepas dibebaskan, Qantar yang dilahirkan dalam tahun 1962 itu, dipercayai kurang menonjolkan diri. Tetapi dia dipercayai telah menjadi pemerintah di Hizbollah yang telah menghantar beratus-ratus anggotanya untuk berjuang bersama-sama pasukan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad.

Bagaimanapun tidak jelas tentang apakah peranan yang dimainkan oleh Qantar dalam perjuangan di Syria.

Abangnya, Bassam Kantar sebelumnya menyatakan rasa sedih di atas kematiannya, di laman Facebook tanpa memberikan butiran tentang kematiannya, tetapi berkata adiknya itu mati syahid.

Di halamannya di Facebook, Bassam berkata, “Dengan bangga kami bersedih dengan kematian ketua Samir Qantar dan kami berbesar hati untuk menyertai keluarga anggota yang mati syahid.”

Media kerajaan Syria, yang tidak menyebutkan nama Qantar, menyalahkan kumpulan pengganas di atas serangan itu dan mengatakan ia telah mengakibatkan korban jiwa.