Ketua polis arah bakar rumah penyeludup dadah

Ketua polis arah bakar rumah penyeludup dadah

MANILA, 26 Ogos – Ketua polis Filipina telah meminta pengguna dadah supaya membunuh penyeludup dadah dan membakar rumah mereka, tatkala beliau berusaha mengekal momentum dalam perang jenayah yang dilancarkan oleh Presiden Rodrigo Duterte yang telah meragut 2,000 nyawa.

“Kenapa tidak kamu memberikan mereka satu kunjungan, menyimbah gasolin di rumah mereka dan membakar rumah mereka untuk meluahkan kemarahan kamu,” kata Ronald dela Rosa dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen hari ini.

“Kesemua mereka sedang menikmati wang kamu, wang yang merosakkan otak kamu. Kamu tahu siapa ketua dadah. Adakah kamu semua mahu membunuh mereka? Teruskan. Membunuh mereka dibenarkan disebabkan kamu adalah mangsa.”

Dela Rosa sedang bercakap semalam kepada beberapa ratus pengguna dadah yang telah menyerah diri di tengah Filipina.

Apabila ditanya sama ada Duterte menyokong gesaan Dela Rosa untuk membunuh dan membakar, jurucakap presiden Ernesto Abella menafikan bahawa ia adalah niat ketua polis.

“Tidak adanya gesaan seumpama itu. Ia merupakan satu kenyataan yang bersemangat,” beritahu Abella kepada wartawan hari ini, tanpa mengulas lanjut.

Komen Dela Rosa menyusuli arahan Duterte sendiri yang telah mencetuskan kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia.

Duterte, 71, memenangi pilihan raya pada Mei berlandaskan janji akan membunuh berpuluh ribu penjenayah dalam kempen yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang akan menghapus dadah dalam masa enam bulan.

Apabila beliau menjadi presiden pada 30 Jun, Duterte memberitahu orang ramai di Manila: “Jika kamu tahu mengenai mana-mana penagih, pergi dan bunuh mereka kerana adalah terlalu menyakitkan untuk meminta ibu bapa mereka untuk melakukannya.” – AFP