Ketua polis Filipina beri amaran polis larikan diri

Ketua polis Filipina beri amaran polis larikan diri

MANILA, 12 Jan – Ketua polis Filipina hari ini memberi amaran kepada seorang anggota polis yang dituduh menculik seorang ahli perniagaan Korea Selatan, bahawa dia akan mati melainkan dia menyerah diri.

Ahli perniagaan itu hilang dari rumahnya di bandar utara Angeles pada Oktober tahun lalu, dengan para penculik menuntut wang tebusan bagi pembebasannya, menurut pihak berkuasa.

Pada awal minggu ini pihak polis mengatakan seorang pegawai polis dari pasukan khas antidadah disyaki terlibat, dan dia telah diletakkan di bawah ‘tahanan ketat’ dan tuduhan jenayah akan difailkan ke atasnya.

Tetapi ketua polis, Ronald Dela Rona hari ini mendedahkan bahawa pegawai polis yang dituduh itu tidak ditahan sebagai sebahagian dari ‘tahanan ketat’.

Menurutnya anggota polis itu hanya melaporkan kepada pegawai-pegawainya, namun dia tidak melaporkan lagi dan menghilangkan diri.

“Saya harap kamu menyerah diri kerana jika tidak, kamu akan benar-benar mati. Kamu akan mati jika kamu tidak menyerah diri,” Dela Rosa berkata dalam satu temu bual dengan radio DZMM.

Kes itu telah mengundang kritikan sebilangan ahli undangan dan media tempatan sebagai contoh anggota polis yang korup yang meluaskan kegiatan haram mereka selepas diberikan kebebasan oleh Presiden Rodrigo Duterte untuk melaksanakan usaha mereka memerangi dadah.

Duterte telah menggalakkan pihak polis membunuh penyeludup dan penagih dadah dan berikrar akan melindungi mereka daripada didakwa.

Kira-kira 5,700 orang dibunuh dalam usaha Duterte memerangi dadah sejak beliau mengambil alih kepimpinan pada pertengahan tahun lalu.

“Kini polis nampaknya mengembangkan permainan mereka dengan terlibat dalam penculikan bagi wang tebusan atas nama memerangi dadah,” menurut laporan editorial Philippine Daily Inquirer, yang membuat laporan mengkritik ke atas tindakan jenayah itu Selasa lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA