Ketua rumah kanak-kanak India ditangkap atas serangan seksual

Ketua rumah kanak-kanak India ditangkap atas serangan seksual

NEW DELHI, 9 Jun – Polis India telah menangkap ketua rumah kanak-kanak selepas enam budak perempuan berusia di bawah 10 tahun menuduhnya menyerang secara seksual dan merakamkan tindakan itu, menurut pegawai hari ini.

R S Meena didakwa kelmarin berhubung tuduhan serangan di rumah kerajaan itu di New Delhi yang menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan daripada penyeludupan, meminta sedekah dan kegiatan haram.

“Kami menangkap tertuduh selepas kenyataan dicatat daripada mangsa dan para pegawai,” kata penolong pesuruhjaya polis, Satish Kain memberitahu AFP, menambah bahawa pemeriksaan perubatan mengesahkan serangan seksual itu.

Dia telah didakwa atas kesalahan ‘merogol kanak-kanak di dalam jagaan undang-undang’, satu dakwaan jenayah meluas yang termasuk serangan seksual.

Lebih 50 orang kanak-kanak berusia antara enam dan 10 tahun tinggal di kemudahan itu, di mana kanak-kanak muda dari seluruh negara sering dibawa secara haram bagi melakukan kerja-kerja buruh.

Polis sedang menyiasat sama ada Meena juga menyerang budak perempuan lain semasa bertugas selama setahun sebagai superintenden di rumah itu. – AFP