Ketua WHO yakin Olimpik Rio selamat

Ketua WHO yakin Olimpik Rio selamat

BRASILIA, 24 Feb (AFP) – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan keyakinan semalam bahawa Brazil boleh menjadi tuan rumah bagi Olimpik Rio dengan selamat di sebalik ancaman Zika, sementara memberi amaran tentang usaha panjang menangani virus bawaan nyamuk itu.

Margaret Chan memuji usaha kerajaan Brazil untuk menghapuskan nyamuk dan penyelarasannya dengan pelbagai badan antarabangsa, termasuklah WHO dan Gerakan Olimpik Antarabangsa, sebelum Sukan Olimpik itu bermula pada 5 Ogos.

Kita mesti “memastikan orang ramai yang datang ke sini sama ada bagi Sukan Olimpik sebagai pelawat, sebagai peserta atau atlet, akan mendapat perlindungan maksimum yang mereka perlukan,” ujarnya, selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Dilma Rousseff dan beberapa menteri di bandar Brasilia.

“Dan saya yakin kerajaan boleh melakukannya.”

Tetapi Chan juga berkata usaha itu akan mengambil masa panjang dan sukar untuk menghapuskan virus itu, yang begitu disyaki mengakibatkan kecacatan serius anak damit sewaktu dilahirkan dari ibu yang dijangkiti virus itu ketika hamil.

Ketua WHO, Margaret Chan mengutarakan perkara tersebut pada satu mesyuarat pengurusan bencana di Brazil. – AFP
Ketua WHO, Margaret Chan mengutarakan perkara tersebut pada satu mesyuarat pengurusan bencana di Brazil. – AFP

“Virus Zika sangat rumit, sangat menipu, sangat kuat. Dan begitu juga nyamuk Aedes,” kata Chan lagi.

“Kita telah mendapat pengajaran daripada letusan denggi dan chikungunya pada masa lalu, dengan itu kita seharusnya menjangkakan akan melihat lebih banyak kes, kita seharusnya menjangkakan ini akan menjadi perjalanan yang panjang.”

Brazil menjadi tumpuan letusan Zika, dengan 1.5 juta orang dijangkiti dan pihak berkuasa juga mencatatkan peningkatan dalam mikrosefali, keadaan sejak lahir yang mengakibatkan kepala kecil luar biasa dan menjejaskan perkembangan otak.

“Kami mengulangi komitmen kami untuk terus bekerjasama dalam usaha memerangi penyakit ini akibat Aedes,” Rousseff menyatakan melalui Twitter.

“Kami akan juga akan bekerjasama dalam mengembangkan vaksin dan dalam mengumpul data dan maklumat yang boleh membantu mengenal pasti hubungan tepat antara virus Zika dan mikrosefali.”