Keunggulan Islam wajib dipertahankan

Keunggulan Islam wajib dipertahankan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Sebagai ummatan wasothan kita mempunyai pendekatan-pendekatan tertentu dalam mengetengahkan keunggulan Islam.

Pendekatan-pendekatan itu antaranya ialah apa yang disebut-sebut sederhana dan kesederhanaan dalam cara, taktik dan strategi, bukan melampau atau ekstrem.

“Sederhana atau kesederhanaan itu bukan dalam makna menyederhanakan keunggulan syariah dan akidah Islam. Adapun keunggulan Islam, ‘aqidatan wa syari’atan (akidah dan syariah) adalah wajib dipertahankan dalam setiap tasarrufat dan mu’amalat, tingkahlaku dan tindakan kita.”

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman menekankan perkara ini ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Wasatiah dan Manhaj Pelaksanaannya di Brunei Darussalam” pada Sidang Plenari, Konferensi Antarabangsa Ulama Muslim ke-4 di State Islamic University of Maulana Malik Ibrahim (UIN Malang) di Malang Jawa Timur, Republik Indonesia, kelmarin.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa membentangkan kertas kerja pada Sidang Plenari, Konferensi Antarabangsa Ulama Muslim ke-4 di State Islamic University of Maulana Malik Ibrahim (UIN Malang) di Malang Jawa Timur, Republik Indonesia, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa membentangkan kertas kerja pada Sidang Plenari, Konferensi Antarabangsa Ulama Muslim ke-4 di State Islamic University of Maulana Malik Ibrahim (UIN Malang) di Malang Jawa Timur, Republik Indonesia, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin berkata, manhaj dan pendekatan sederhana itu samalah intinya dengan mengetengahkan ajaran serba unggul Islam untuk diguna pakai oleh seseorang.

“Justeru, kita perlu berpenampilan yang terbaik, menarik dan menawan serta berintegriti. Bukan dengan sikap melampau, agresif dan provokatif yang menimbulkan tengkarah (kontroversial) yang boleh saja mengundang masalah yang tidak terduga risikonya terhadap keharmonian bermasyarakat, berbangsa dan bernegara,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Antara hasil daripada pendekatan penerapan Islam di Brunei Darussalam, jelas Yang Berhormat Pehin, ialah secara meneliti mana-mana undang-undang yang sedia ada bagi maksud menentukan kesesuaiannya dengan kehendak hukum syarak.

Satu kejayaan yang menjadi mercu tanda penerapan ajaran Islam secara pendekatan yang tidak melampau itu ialah Brunei Darussalam berhasil mengangkat dan melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

Beliau menegaskan bahawa wasatiah yang diketengahkan ialah ajaran dan konsep serta falsafah al-wasatiah al-Islamiah, bukan al-Islam al-wasati, kerana tidak ada nama al-Islam al-wasati disebutkan dalam Al-Quran atau hadis.

Yang jelas terang ada ialah ummatan wasothan, yakni umatnya iaitu kita penganut dan pengamal agama Islam itu diberi gelaran oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai ummatan wasothan.

Katanya, inilah antara pendekatan yang sederhana, tidak melampau atau ekstrem, dengannya dan dengan berkat kepimpinan pemerintahan beraja yang adil lagi berkesan, dengan panduan berwawasan ulamanya serta dengan penerimaan dan dokongan rakyat serta penduduknya, Muslim dan bukan Muslim yang juga bersikap realistik dan pragmatik dalam bermasyarakat, berbangsa dan bernegara, Brunei akan tetap pada landasan Islam yang unggul, dirangsang dengan konsep Negara Zikir, untuk kekal sebagai negara yang aman damai serta rakyat dan penduduknya Islam dan bukan Islam kekal bersatu padu, bahagia dan sejahtera.