Keunikan biodiversiti jadikan Sabah destinasi popular

Keunikan biodiversiti jadikan Sabah destinasi popular

KUNDASANG, 11 Okt – Keunikan biodiversiti menjadikan Sabah antara destinasi popular dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata keunikan biodiversiti seperti di Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon terkenal sebagai kawasan pemuliharaan bertaraf dunia serta menerima banyak pengiktirafan.

“Hutan-hutan berkenaan menjadi habitat kebanyakan spesies tumbuhan dan haiwan termasuk burung, reptilia, ikan dan mamalia yang jarang ditemui seperti beruang madu, badak sumatera, gajah pygmi, Orang Utan dan monyet proboscis.

“Secara langsung dan tidak langsung, biodiversiti yang ada memberikan banyak faedah kepada negeri ini, terutamanya dalam sektor pelancongan. Sehubungan itu, kita perlu bekerjasama untuk menjaga dan melindungi khazanah berkenan melalui usaha pemuliharaan dan penjagaan biodiversiti secara proaktif dan mapan,” katanya pada majlis pelancaran Strategi Biodiversiti dan Pelan Tindakan Sabah, di sini hari ini.

Teks ucapan Masidi dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi.

Masidi berkata dokumen Strategi Biodiversiti dan Pelan Tindakan Sabah, merupakan strategi 10 tahun sebagai komitmen dan sumbangan dalam memenuhi ikrar Malaysia dalam melaksanakan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).

Strategi Biodiversiti dan Pelan Tindakan Sabah yang dilaksanakan sejak 2012. – Bernama