Keunikan buda...

Keunikan budaya boleh jana pendapatan

TAWAU, 19 Mac – Keunikan budaya bangsa setiap kaum di negeri ini memiliki nilai komersial yang boleh menjana pendapatan dan ekonomi setempat serta negara melalui sektor pelancongan.

Justeru, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mahu generasi muda khususnya di negeri ini berbangga dengan keunikan budaya bangsa yang dimiliki dan berusaha memartabatkannya.

Beliau berkata keunikan budaya dan kaum yang dimiliki perlu dihargai dan dikekalkan agar terus menjadi warisan khazanah yang tidak ternilai harganya untuk tatapan generasi akan datang.

“Budaya bangsa setiap kaum yang unik ini bukan sahaja menjadi tarikan rakyat di negara ini malah pelancong juga akan turut teruja kerana mereka tidak memiliki seperti apa yang kita miliki,” katanya selepas melawat tapak gerai pameran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) kali ke-6, di sini, hari ini.

Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata kepelbagaian budaya bangsa juga merupakan platform untuk seluruh rakyat saling menghargai antara satu sama lain sekali gus mengekalkan perpaduan.

“Di sini walaupun terdapat pelbagai etnik dan kaum tetapi kita semua saling menghormati antara satu sama lain, malah meraikan kepelbagaian dengan sama-sama belajar tentang etnik yang ada,” katanya.

Sementara itu, Tawfiq berharap agar tarikh penganjuran FKAT ditetapkan pada setiap bulan Mac bagi memudahkan urusan semua pihak yang terlibat.

“FKAT ini dapat menonjolkan keunikan Tawau sebagai daerah pertembungan budaya dan ianya perlu diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan usaha memartabat budaya bangsa,” katanya.

FKAT pada kali ini disertai 28 etnik dan turut menerima penyertaan dari tiga negara jiran termasuk Indonesia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA