Keunikan penjualan kraf tangan di bawah 1 bumbung

Keunikan penjualan kraf tangan di bawah 1 bumbung

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Kehalusan tradisi dan keunikan kraf tangan Brunei setentunya menjadi pilihan penggemar kraf tangan dan pelancong apabila berada di negara ini yang dijadikan sebagai ‘buah tangan’ kenang-kenangan untuk dihadiahkan kepada keluarga dan sahabat.

Jika dilihat suatu ketika dahulu, kraf tangan dan hasil seni ini hanya boleh diperolehi di mukim dan kampung sahaja, tetapi kini ia mudah diperolehi di mana-mana sahaja dan salah satu tempat tersebut ialah di Bangunan Sumbangsih Mulia, Beribi.

Di bangunan ini, terdapat pelbagai jenis kraf tangan berbentuk anyaman yang dihasilkan dan dijual dengan harga yang berpatutan.

Selain dari kraf tangan, kain tenunan dan perkhidmatan gubahan barang perkahwinan juga turut disediakan dan dijual di sini.

Cenderahati kraf tangan boleh diperolehi di bawah satu bumbung.
Cenderahati kraf tangan boleh diperolehi di bawah satu bumbung.

Sementara orang ramai yang berada di bangunan itu semasa ditemui hari ini memberi pandangan mereka, dengan adanya barangan kraf tangan Brunei yang dipamerkan di bangunan ini, ia bukan sahaja dapat membantu mempromosi keunikan dan budaya Brunei, tetapi secara tidak langsung juga dapat meningkatkan ekonomi negara.

Di samping itu, ia juga dapat memberi pendedahan kepada generasi muda terutama kanak-kanak mengenai peralatan dan kemudahan yang digunakan dalam satu-satu majlis dan adat Brunei.

Dengan adanya perkhidmatan di bawah satu bumbung ini, ia sedikit sebanyak akan memudahkan orang ramai dan pelancong untuk mendapatkan kraf tangan yang mereka hajati dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui secara ringkas mengenai bahan yang digunakan untuk menghasilkan kraf tangan yang berkualiti.

ARTIKEL YANG SAMA