Keunikan perayaan sembilan maharaja dewa

Keunikan perayaan sembilan maharaja dewa

KUALA LUMPUR – Setiap tahun tibanya bulan kesembilan Kalendar Lunar Cina, Tokong Lam Thian Kiong di Kampung Baharu Ampang bagaikan karnival buat para penganut Taoist di sekitar ibu kota bagi menyambut Perayaan Sembilan Maharaja Dewa.

Tokong yang berusia 153 tahun itu adalah antara tokong Taoist yang menjadi tumpuan para penganutnya untuk menyambut perayaan itu selama sembilan hari berturut-turut pada saban tahun.

Turut dikenali sebagai ‘Kow Wong Yeh’ dalam kalangan masyarakat Cina, ia disambut bermula 1 Oktober lepas dan berakhir Ahad (9 Oktober). Upacara menyambut sembilan dewa pada hari pertama di tepi-tepi sungai dan laut menjadi pembuka tirai perayaan itu yang disifatkan sebagai ‘acara terbesar’ penganut-penganut Taoism di seluruh dunia.

Ketika inilah, penganut-penganutnya akan berpakaian serba putih, makan sayur-sayuran dan tinggal di dalam tokong sepanjang sembilan hari untuk upacara sembahyang secara berterusan.

Upacara sambut, hantar pulang sembilan maharaja dewa

Menurut Ketua Upacara Ritual Sembilan Maharaja Dewa Tokong Lam Thian Kiong, Daryl Li Ming Wai, oleh kerana ketibaan Sembilan Maharaja Dewa dipercayai sampai melalui jalan air, perarakan diadakan dari tokong ke tepi pantai atau sungai sebagai lambang kepercayaan ini.

Tokong itu antara yang menjadi tumpuan para penganut Taoist menyambut perayaan itu selama sembilan hari berturut-turut pada setiap tahun. – Bernama
Tokong itu antara yang menjadi tumpuan para penganut Taoist menyambut perayaan itu selama sembilan hari berturut-turut pada setiap tahun. – Bernama
Para penganut Taoist memenuhi ruang upacara sembahyang di hadapan Sembilan Maharaja Dewa di Tokong Lam Thian Kiong, Kampung Baharu Ampang yang berusia 153 tahun sempena perayaan terbesar tahunan Sembilan Maharaja Dewa. – Bernama
Para penganut Taoist memenuhi ruang upacara sembahyang di hadapan Sembilan Maharaja Dewa di Tokong Lam Thian Kiong, Kampung Baharu Ampang yang berusia 153 tahun sempena perayaan terbesar tahunan Sembilan Maharaja Dewa. – Bernama

“Rombongan secara beramai-ramai akan membawa gaharu dan lilin, berjalan di atas bara api dan berarak dengan mengangkat kerusi tandu bagi menjemput ketibaan ‘Maharaja’ di tepi-tepi pantai ataupun sungai pada hari pertama.

“Kerusi tandu yang dipercayai ‘membawa’ Maharaja itulah akan diusung ke tokong dan diletakkan di satu tempat khas. “Selepas itu tokong akan dibuka kepada orang ramai selama 24jam selama sembilan hari bagi upacara sembahyang untuk mendapatkan restu, hajat ataupun membayar nazar,” katanya kepada Bernama.

Upacara yang sama juga akan dilakukan pada hari kesembilan dengan menghantar pulang Sembilan Maharaja Dewa itu dari tokong ke tepi-tepi sungai dan pantai. “Jika yang menyambut ketibaan serta kepulangan Sembilan Maharaja Dewa dan berjalan di bara api, mereka perlu makan sayur-sayuran selama 9 hari sebagai tanda benar-benar bersih dan suci.

“Kebiasaannya penganutnya akan memilih sama ada untuk makan sayur-sayuran selama satu hari, tiga, enam ataupun penuh iaitu sembilan hari bergantung kepada keikhlasan dan kesanggupan masing-masing,” katanya.

Pantang larang, simbolik dan sejarah

Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang perayaan Sembilan Maharaja Dewa.

“Selain tidak boleh makan daging, tidak boleh minum alkohol, mereka juga tidak boleh berpakaian hitam, tidak boleh memakai barangan kulit, tidak boleh pergi ke tokong untuk sembahyang jika isteri mengandung atau ada kematian dan yang paling penting ialah kebersihan diri dengan memakai pakaian serba putih,” katanya.

Menurutnya, antara simbolik perayaan Sembilan Maharaja Dewa adalah cuaca hujan dan pau berbentuk penyu.

“Musim hujan menjadi simbolik dalam sambutan itu kerana ia mengiringi Sembilan Maharaja Dewa yang dipercayai sampai melalui jalan laut dan dalam masa sembilan hari biasanya setiap hari akan hujan.

“Sembilan Maharaja Dewa yang tiba ke darat itu akan membawa hujan yang dapat membersihkan kawasan darat yang dilihat sebagai lambang suci,” katanya.

Pau berbentuk penyu itu menjadi simbolik bagi memperingati sejarah Sembilan Maharaja Dewa yang tiba di bumi untuk menyelamatkan rakyat Dinasti Ming daripada puak Manchu ketika peperangan.

“Pau berbentuk penyu itu adalah sebagai satu simbolik bagi memperingati penyu gergasi yang berjaya menye-lamatkan sembilan Maharaja Dewa yang hampir tenggelam di laut kerana mahu membantu rakyat menangani puak Manchu ketika peperangan pada zaman Dinasti Ming,” katanya.

Namun, Maharaja Manchu kemudian-nya berjaya menangkap Sembilan Maharaja Dewa dan memancung sembilan kepala dan diletakkan ke dalam pasu dan dilontar ke laut, dan perbuatan itu menyebabkan kehidupan baginda tidak tenteram dan mengalami mimpi ngeri.

“Sembilan kepala itu dikatakan ditemui oleh nelayan yang melihat sembilan kepala muncul di lautan dan naik ke syurga.

“Maharaja Manchu yang sedar kemurkaan Dewa Langit telah diberikan nasihat membina tokong untuk memberi korban pada hari kesembilan dalam kalendar lunar Cina untuk memperingati Sembilan Maharaja Dewa dan Maharaja Manchu menitahkan perayaan ini disambut setiap tahun,” katanya.

Sambut secara besar-besaran

Pada tahun ini, kira-kira 8,000 penganut agama Taoist hadir ke upacara ritual menyambut Sembilan Maharaja Dewa pada 1 Oct lepas dan upacara menghantar pulang pada Ahad lepas (9 Oct).

Menurut Li, acara menyambut dan menghantar pulang merupakan upacara kemuncak yang menjadi tumpuan penganut-penganutnya kerana dikata-kan akan memberi kesejahteraan dan keamanan kepada mereka yang menyertai perarakan dan upacara ritual itu.

“Sebelum acara menyambut dan menghantar pulang Sembilan Maharaja Dewa, mereka dikehendaki berjalan di atas bara api sebagai tanda menyucikan diri.

“Ada waktu-waktu dan hari-hari tertentu untuk menjalankan upacara berjalan di atas bara api mengikut jantina kerana upacara menyambut dan menghantar pulang Sembilan Maharaja Dewa hanya boleh disertai oleh kaum lelaki sahaja.

“Oleh itu, bagi golongan wanita yang tidak dapat menyertai upacara itu, mereka boleh berjalan di atas bara api sebagai tanda menyucikan diri dan mendapatkan restu daripada dewa,” katanya. – Bernama