Keunikan spes...

Keunikan spesies orkid

TERDAPAT pelbagai spesies orkid dan mempunyai peminat tersendiri kerana keunikan serta keindahan bentuk atau warnanya.

Hanya terdapat dua jenis orkid iaitu simpodial dan monodial yang bukan saja berbeza dari segi ciri pokoknya, tapi juga cara penjagaan serta penanamannya.

Orkid simpodial mempunyai batang bercabang dan akarnya tertumpu pada bahagian bawah pokok sementara orkid monodial pula berbatang tunggal serta akar di ‘udara.’

Jenis monodial lebih tahan lasak dan mampu diletakkan di bawah cahaya matahari terus atau teduhan 30 peratus serta boleh membesar hingga 1.5 meter.

Berbeza dengan orkid jenis simpodial yang memerlukan teduhan lebih 50 peratus dan boleh membesar hingga ketinggian 0.9 meter.

Orkid mempunyai pelbagai spesies, rupa dan bentuk.
Orkid mempunyai pelbagai spesies, rupa dan bentuk.

Walaupun orkid memerlukan kos sedikit tinggi berbanding pokok hiasan lain, tapi penjagaannya tidak sukar seperti yang dibayangkan.

Lebih menarik, ia juga boleh dibiakkan melalui anak benih atau keratan batang.

Kebiasaannya, penanaman dari keratan batang lebih terkenal kerana ia boleh didapati dari tapak semaian atau ia dikerat sendiri dari pokok yang ditanam sebelum ini.

Kaedah penanaman dan penjagaan yang mudah tidak bermakna anda sekadar menguruskannya sambil lewa dan setiap langkah perlu dilakukan dengan tertib.

Kaedah penanaman keratan batang

Selepas batang pokok dikerat, pastikan keratan batang itu disimpan di tempat teduh atau direndam dalam air sebelum penanaman bermula.

Ia dilakukan adalah bagi mengelakkan keratan batang kekeringan air dan seterusnya menyebabkan pokok mati.

Selepas batang pokok dikerat sendiri atau dibeli di tapak semaian, kita perlu simpan di tempat teduh sebelum proses penanaman bermula.

Ini kerana orkid mempunyai batang lembut dan bahagian batang itu adalah tempat penyimpanan air dan makanan.

Apabila dikerat ia kehilangan air jadi lebih baik letak di bawah teduhan supaya ia tidak mati.

Bagi orkid jenis simpodial, sebaiknya direndam dalam air terlebih dulu sebelum penanaman bermula kerana ia mempunyai akar yang banyak di bahagian bawah.

Proses penanaman orkid mudah berbanding pokok lain kerana ia hanya perlu ditanam dalam pasu dan memerlukan tiga bahan utama.

Selain pasu, rak juga sesuai digunakan kerana tanaman itu bersifat menjalar, tapi tidak boleh ditanam di tanah. Sekiranya ingin letakkan pada tanah, pastikan tanam dalam pasu dulu kemudian kambuskan dengan serbuk papan.

Tiga bahan utama yang diperlukan adalah bata tanah liat, arang dan serbuk papan sementara bekas tanaman sesuai termasuk pasu bunga plastik atau tanah liat yang berlubang.

Pasu yang berlubang di bahagian tepi digunakan untuk tanaman orkid simpodial kerana ia jenis berakar pada bahagian bawah jadi memerlukan ruang menjalarkan akarnya.

Berbeza pula dengan orkid jenis monodial sesuai dengan pasu yang berlubang di bahagian bawah kerana ia jenis pokok yang berakar di ‘udara’ dan akar tumbuh di celahan daun.

Bata tanah liat ini pula bersifat lembap jadi ia menyimpan kelembapan untuk pokok. Kemudian, di bahagian atas bata itu kita letakkan pula arang yang bersifat menyerap lembapan jadi ia dapat seimbangkan fungsi tanah liat itu tadi.

Bagi orkid simpodial, ia perlu diletakkan di bahagian tepi pasu kemudian diikat supaya kedudukannya terletak.

Ulangi proses yang sama iaitu dengan meletakkan bata tanah liat, arang dan serbuk papan.

Selepas selesai, kedua-dua jenis orkid itu hendaklah disiram dengan air dan disembur baja sebelum diletakkan di tempah teduh.