Keuntungan bersih CCB lembap

Keuntungan bersih CCB lembap

SHANGHAI, 31 Mac (AFP) – Bank Pembinaan China (CCB), salah sebuah pemberi pinjaman milik negara “Empat Besar” negara, melaporkan pertumbuhan lembap dalam keuntungan bersih tahun lalu, tatkala pinjaman lapuk meningkat dengan pertumbuhan ekonomi menjadi lembap.

Keuntungan bersih bank meningkat 0.14 peratus kepada 228.15 bilion yuan pada 2015, berkurangan daripada pertambahan tahunan sebanyak 6.1 peratus pada 2014, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Bank berkata ia “menyaksi situasi ekonomi global yang lebih kompleks dan berubah-ubah” termasuk turun naik dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi.

Ekonomi China, kedua terbesar di dunia, berkembang 6.9 peratus pada 2015, kadar paling perlahan dalam satu perempat abad.

Kerajaan berusaha mengalih penjana ekonominya daripada eksport murah dan pelaburan kerajaan besar-besaran kepada penggunaan domestik tetapi mengingatkan mengenai pertumbuhan yang lebih lembap yang digelar oleh pemimpin sebagai “perkara biasa baru.”

Presiden CCB Wang Zuji (kiri) dan naib presiden Yang Wensheng ketika menghadiri sidang berita di ibu pejabatnya di Beijing, China pada 31 Mac. – Reuters
Presiden CCB Wang Zuji (kiri) dan naib presiden Yang Wensheng ketika menghadiri sidang berita di ibu pejabatnya di Beijing, China pada 31 Mac. – Reuters

“Pertumbuhan dalam keuntungan bersih telah merosot mendadak disebabkan pertambahan dalam pinjaman tak berbayar,” beritahu penganalisis Guotai Junan Securities Richard Cao kepada AFP.

Nisbah pinjaman tak berbayar (NPL) CCB mencecah 1.58 peratus pada tahun lalu, naik daripada 1.19 peratus pada 2014.

Saham bank yang diniagakan di Shanghai merosot 0.82 peratus pada waktu rehat hari ini selepas pengumuman keputusan.

Dua bank utama lain, Bank Industri dan Komersial China (ICBC) dan Bank China (BOC), pada Rabu juga melaporkan pertambahan lemah dalam keuntungan bersih dan pinjaman lapuk.

ICBC, bank terbesar China, berkata keuntungan bersih meningkat 0.48 peratus kepada 277.13 bilion yuan pada 2015.

BOC, bank tukaran asing utama, melaporkan keuntungan bersihnya bertambah 0.74 peratus kepada 170.85 bilion yuan.

ARTIKEL YANG SAMA