Keuntungan Facebook menurun

Keuntungan Facebook menurun

SAN FRANCISCO, 30 Julai (AFP) – Facebook melaporkan satu kemerosotan dalam keuntungan sukunya semalam tetapi berkata pendapatan meningkat disebabkan keuntungan periklanan peranti, tatkala jumlah penggunanya mencecah AS$1.5 bilion.

Rangkaian sosial terbesar dunia itu berkata keuntungannya untuk pemegang saham merosot sembilan peratus berbanding setahun sebelumnya kepada AS$715 juta, di tengah perbelanjaan lebih tinggi untuk pelaburan dalam produk dan aplikasi baru, dan pampasan berasaskan saham.

Namun jumlah pendapatan bertambah 39 peratus kepada AS$4.04 bilion disebabkan pemerolehan besar dalam pendapatan iklan, terutamanya daripada mesej berbayar yang dihantar kepada alat peranti.

Pengguna aktif bulanan bertumbuh 13 peratus berbanding setahun lalu kepada 1.49 bilion, tetapi pemerolehan adalah sederhana daripada suku pertama apabila ia berjumlah 1.44 bilion.

“Ia adalah satu lagi suku yang kukuh untuk komuniti kami,” kata pengasas dan ketua eksekutif Facebook Mark Zuckerberg.

“Penggunaan aplikasi dalam semua keluarga terus meningkat, dan kami masih menumpu pada usaha untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kami.”

Di tengah pertumbuhan berterusan dalam Facebook, syarikat telah menambah tawaran aplikasinya, termasuk perkhidmatan perkongsian gambar Instagram, perkhidmatan mesej WhatsApp dan pembuat gear realiti maya Oculus.

Perbelanjaan modal Facebook pada suku itu berjumlah AS$549 juta. Kos penyelidikan dan pembangunannya berjumlah AS$1.17 bilion.

Pemerolehan besar dalam pendapatan datang daripada iklan dan peranti yang menyumbang kepada 76 peratus daripada pendapatan iklan pada suku itu, naik daripada 62 peratus setahun sebelumnya dan 73 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Saham Facebook merosot 1.9 peratus dalam perniagaan selepas waktu tutup ekoran keputusan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA