Keuntungan pemilik Zara meningkat

Keuntungan pemilik Zara meningkat

ARTEIXO, Sepanyol, 9 Mac (AFP) – Syarikat pakaian global Sepanyol, Inditex, pemilik jenama Zara, melaporkan hari ini lonjakan jelas dalam keuntungan pada 2015 akibat jualan tinggi dan usaha pelebaran antarabangsanya.

Kumpulan itu mengatakan dalam satu kenyataan bahawa keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 15 peratus kepada 2.88 bilion euro (AS$3.2 bilion) bagi tempoh setahun penuh sehingga akhir Januari.

Keputusan itu kelihatan lebih bagus daripada yang dijangkakan oleh penganalisis daripada firma perkhidmatan kewangan Factset yang meramalkan keuntungan bersih purata sebanyak 2.85 bilion euro.

Jualan meningkat lebih 15 peratus kepada 20.9 bilion euro, dirangsang oleh pertumbuhan dari semua rantau tempat kumpulan itu bertapak, katanya.

Gedung Zara, jenama Inditex, di tengah Barcelona, Sepanyol pada 8 Mac. – Reuters
Gedung Zara, jenama Inditex, di tengah Barcelona, Sepanyol pada 8 Mac. – Reuters

Inditex, yang bersaing dengan H&M Sweden sebagai peruncit pakaian sedia pakai terunggul di dunia, meneruskan pelebarannya, membuka 330 gedung pada 2015.

Gedung Zara yang dibuka di Honolulu di Hawaii semasa tiga bulan kebelakangan bagi tahun kewangan kumpulan itu meraikan kedai ke-7,000nya, katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat itu mengatakan ia telah melebarkan kehadiran onlinenya terutamanya di Asia, dengan laman beli-belah Internet kini dalam 29 buah pasaran.

ARTIKEL YANG SAMA