Keuntungan suku tahun Facebook meningkat

Keuntungan suku tahun Facebook meningkat

SAN FRANCISCO, 28 Jan – Keuntungan suku tahun Facebook meningkat lebih dua kali ganda ketika kedudukannya menonjol dalam tempoh tahun lalu kepada pangkalan pengguna amat besar iaitu hampir 1.6 bilion, menurutnya semalam.

“Komuniti kami terus tumbuh dan perniagaan kami berkembang,” menurut pengasas bersama Facebook yang juga ketua eksekutif Mark Zuckerberg dalam mengeluarkan hasil tempoh suku bagi rangkaian sosial terbesar di dunia itu yang dengan selesa mengatasi jangkaan.

Ia melaporkan keuntungan AS$1.56 bilion dalam tiga bulan terakhir 2015 dibandingkan dengan keuntungan AS$701 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Hasil dalam tempoh suku yang berakhir 31 Disember melonjak kepada AS$5.84 bilion dari AS$3.85 bilion tahun sebelumnya.

Hasil itu menunjukkan kuasa berkembang Facebook dalam pengiklanan online, terutamanya pada peranti bergerak.

Gambar yang diambil pada 16 Disember 2015 menunjukkan seorang lelaki bergambar bersama alat kaca pembesarnya di hadapan logo Facebook di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina. – Reuters
Gambar yang diambil pada 16 Disember 2015 menunjukkan seorang lelaki bergambar bersama alat kaca pembesarnya di hadapan logo Facebook di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina. – Reuters

Telefon pintar diperkira hampir 80 peratus hasil daripada iklan rangkaian itu dalam tempoh suku tahun. Keuntungan bersih bagi tahun penuh melonjak AS$3.7 bilion dari AS$2.9 bilion dalam tahun 2014, manakala hasil melonjak AS$17.9 bilion dari AS$12.5 bilion.

“2015 adalah tahun hebat bagi Facebook,” kata Zuckerberg.

“Kami terus melabur dengan lebih baik lagi untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti kami, membina perniagaan kami, dan menghubungkan dunia.”

Purata 1.04 bilion orang menggunakan Facebook setiap hari dalam bulan Disember, kenaikan 17 peratus dari bulan sama tahun sebelumnya. Bilangan pengguna aktif bulanan pada Disember ialah 1.59 bilion, dalam pertambahan 14 peratus dari tahun sebelumnya, menurut rangkaian sosial itu.

Saham Facebook melonjak lebih 12 peratus kepada AS$106 dalam dagangan selepas pasaran yang menyusuli pendedahan angka perolehan.

Facebook yang beribu pejabat di California tidak henti-henti melakukan usaha pembaharuan untuk mengekalkan rangkaian sosialnya pada gaya hidup era internet.

Syarikat ini telah berusaha memasuki perdagangan online, meningkatkan teknologi iklan, meningkatkan video dan malah terlibat dalam membina mesin pintar dalam aplikasi mesej telefon pintarnya iaitu Messenger. – AFP