Keuntungan terkumpul TH kekal positif

Keuntungan terkumpul TH kekal positif

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Keuntungan terkumpul Lembaga Tabung Haji (TH) masih kekal positif selepas pembayaran bonus 2015 iaitu sebanyak RM609 juta berbanding RM293 juta pada akhir tahun 2014.

Menurut TH dalam kenyataan di sini hari ini, usaha itu adalah langkah awal dan selaras dengan saranan Bank Negara Malaysia untuk TH menyemak kembali polisi rizab sedia ada.

“Ingin ditekankan di sini sekali lagi bahawa Bonus 2015 adalah dibayar berdasarkan daripada keuntungan tahun semasa dan tidak sesekali menggunakan rizab,” katanya.

Syarikat pengurusan dana tersebut telah mengkredit sebanyak RM3.2 bilion bayaran bonus kepada 8.85 juta pendepositnya sejak Isnin lalu.

Pendeposit boleh mengemaskini buku akaun masing-masing di semua kaunter TH seluruh negara atau menyemak bayaran bonus melalui ATM rakan-rakan strategiknya.

TH menegaskan penyata kewangannya telah disediakan mengikut piawaian pelaporan kewangan yang diterbitkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan menurut prinsip syariah.

Ketua Audit Negara dalam kenyataan beliau bertarikh 3 Feb 2016 mengesahkan Jabatan Audit Negara telah menyemak polisi perakaunan yang diguna pakai oleh TH adalah konsisten dan mematuhi konsep berhemat.

“Oleh yang demikian, tiada sebarang isu berkaitan dengan ‘creative accounting’ yang diguna pakai oleh TH seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA