Keusahawanan harus diutamakan

Keusahawanan harus diutamakan

KOTA SAMARAHAN, 8 Jun (Bernama) – Kalangan siswazah digesa agar menggunakan bakat dan kemahiran mereka dalam mempelopori bidang keusahawanan agar tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan dalam industri yang semakin kompetitif.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata mereka perlu bersikap realistik memandangkan keadaan sudah berubah apabila bilangan siswazah kini terlalu ramai manakala peluang pekerjaan pula terhad.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (CIPTA 2015) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini, yang merupakan acara tahunan pelajar tahun akhir Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Unimas.

Fatimah juga mahu pelajar dan siswazah Seni Gunaan dan Kreatif Unimas mengaplikasikan ilmu yang mereka pelajari di universiti ke dalam bentuk praktikal serta mewujudkan jaringan komunikasi dengan industri yang berkaitan.

Sementara itu, beliau mempelawa Unimas untuk menjadi rakan strategik kementerian beliau dalam menganjurkan sambutan Hari Wanita peringkat negeri tahun ini bertemakan ‘Wanita Dalam Seni’ yang akan berlangsung Oktober tahun ini.

Katanya sambutan pada tahun ini akan turut diadakan di peringkat daerah bagi membolehkan wanita di semua daerah turut serta dalam sambutan itu.

Menurut Fatimah, sepanjang sambutan itu akan diadakan pameran seni bagi mempromosi produk dan hasil inspirasi mereka dalam bidang seni.