Keusahawanan makin menarik minat golongan muda

Keusahawanan makin menarik minat golongan muda

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Bidang keusahawanan merupakan salah satu bidang kerjaya yang diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan dalam membangun generasi muda yang mampu berdikari serta bersemangat kental untuk menceburi bidang tersebut dan menjadikannya sebagai bidang kerjaya mereka.

Bidang keusahawanan juga semakin mendapat sambutan golongan belia di mana ramai daripada mereka berminat untuk menyertai program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan bukan sahaja oleh badan-badan kerajaan tetapi juga pihak swasta termasuk program-program pembangunan yang diusahakan oleh LiveWIRE Brunei.

Seramai 15 orang belia, terdiri daripada lepasan universiti, pencari kerja dan juga kakitangan sektor swasta dan awam, berjaya menamatkan Bengkel Idea Bernas anjuran LiveWIRE Brunei yang berlangsung di Pejabat LiveWIRE Brunei, Berakas, baru-baru ini.

Bengkel dua hari itu merupakan bengkel pengenalan keusahawanan yang dikendalikan oleh LiveWIRE Brunei bagi meningkat dan memberi pendedahan asas kepada para peserta yang berminat untuk menerokai dunia keusahawanan dan membuka perusahaan mereka sendiri.

Menurut Kaunselor Perniagaan LiveWIRE Brunei dan pemudah cara bengkel berkenaan, Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan, para peserta bengkel itu merupakan golongan belia yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam memulakan perusahaan mereka sendiri.

Para peserta bergambar-ramai bersama Awang Mohd Fadhilullah dan sijil mereka selepas berjaya menamatkan bengkel dua hari itu, baru-baru ini.
Para peserta bergambar-ramai bersama Awang Mohd Fadhilullah dan sijil mereka selepas berjaya menamatkan bengkel dua hari itu, baru-baru ini.

Melalui penyertaan dalam bengkel itu, mereka diberikan pengetahuan mengenai pemikiran yang diperlukan untuk berjaya, mencari idea perniagaan yang bernas, membuat perancangan mengenai kos memulakan perniagaan, prosedur perundangan bagi memulakan perniagaan di Brunei serta pengurusan kewangan.

Semasa bengkel itu, para peserta diberikan tunjuk ajar mengenai perkara yang perlu mereka buat untuk memulakan perniagaan dan juga pejabat yang perlu mereka pergi untuk membuat permohonan bagi mendaftar nama perniagaan serta mendapatkan lesen perniagaan mereka.

Mereka juga belajar mengenai dengan asas pengurusan kewangan di mana mereka berpeluang untuk menggunakan ilmu pengetahuan itu bagi mengurus kewangan perniagaan dan juga persendirian mereka.

LiveWIRE Brunei turut menganjurkan beberapa program keusahawanan yang lain termasuk program dan bengkel selama empat hari iaitu ‘Menjadi Seorang Pemilik dan Pengurus Perniagaan yang Berjaya,’ di mana ia merupakan program lanjutan bagi bengkel idea bernas dan mengetengahkan penceramah undangan yang terdiri daripada pengurus-pengurus, pengusaha, ahli-ahli perbankan dan pegawai-pegawai kerajaan yang mengongsikan pengalaman serta ilmu pengetahuan mereka dalam memulakan dan menjalankan perniagaan di Brunei pada 23 hingga 26 Mei nanti.

Di samping itu, Siri Pelan Perniagaan LiveWIRE juga akan diadakan pada 10, 17 dan 24 Jun nanti manakala itu, bengkel Idea Bernas seterusnya dijadualkan pada 1 dan 2 Jun nanti.

LiveWIRE Brunei merupakan program pembangunan kemasyarakatan bagi Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP)sebagai usaha BSP dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan lagi usaha kepada menyokong perkembangan keusahawanan di Brunei bagi memastikan pembangunan ekonomi negara jangka panjang yang mapan.

ARTIKEL YANG SAMA