Kewangan Islam atasi isu harga minyak

Kewangan Islam atasi isu harga minyak

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Prospek ekonomi Islam kekal kukuh berikutan minat yang meningkat terhadap kelas aset pelaburan patuh syariah sekalipun wujud hubung kait yang tidak dapat dielak antara harga minyak dan kekayaan Islamik.

Gabenor Bank Pusat Bahrain, Rasheed Al Maraj berkata walaupun terdapat sedikit rintangan baru-baru ini, pertumbuhan jangka panjang yang diunjur di pasaran-pasaran paling kukuhnya di Timur Tengah dan Asia Tenggara, kekal teguh.

“Wujud permintaan yang ketara untuk produk dan perkhidmatan kewangan patuh syariah. Seiring dengan kematangan industri, ia berupaya menampung permintaan itu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

Rasheed turut menegaskan bahawa amat penting bagi industri untuk terus menangani cabaran yang dapat menyekat pertumbuhan jangka panjang seperti pelaburan dalam pendidikan dan latihan, bagi memastikan bekalan sumber profesional berkemahiran dapat menampung permintaan yang berkembang.

Dalam usaha mengurangkan perbezaan kos antara kewangan Islam dan konvensional, Bank Pusat Bahrain bekerjasama dengan institusi seperti Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam, dan Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa untuk mewujudkan piawaian yang lebih baik. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA