Kewangan Islam perlu instrumen kukuh, stabil

Kewangan Islam perlu instrumen kukuh, stabil

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) – Kewangan Islam telah muncul sebagai alternatif menarik yang beroperasi hampir setara dengan segmen konvensional dan lebih banyak negara kini melaksanakannya.

China, sebagai contoh telah menyatakan minat untuk menjadi hab kewangan Islam selepas Hong Kong menjual sukuk lima tahun yang pertama bernilai AS$1 bilion pada akhir 2014.

United Kingdom juga mencatatkan perkembangan ketara dalam usahanya memacu kewangan Islam dengan jumlah aset Islam lebih daripada AS$19 bilion.

Dana Kewangan Antarabangsa juga baru-baru ini mengakui prinsip kewangan Islam, dengan menyatakan ia boleh menjadi lebih selamat daripada kewangan konvensional.

Tetapi adakah lebih banyak hab dan lebih besar bank, akan lebih baik?

Pakar-pakar memberi pendapat berbeza, dengan menyatakan bahawa lebih besar dan lebih banyak hab tidak semestinya baik untuk industri.

Ketua Ekonomi Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain, Dr Jarmo Kotilaine berkata globalisasi kewangan Islam merupakan satu proses yang sedang berkembang. “Membina industri kewangan Islam global bukan satu pertandingan. Anda tidak boleh mempunyai terlalu banyak pusat kewangan Islam,” katanya kepada Bernama.

Kotilaine berkata apa yang pasaran perlu ialah lebih banyak perundangan aktif bagi memastikan kewangan Islam mematuhi prinsip perkongsian risiko dan pembiayaan berasaskan aset.

Bahrain kekal sebagai peneraju dunia dalam kewangan Islam, tumpuan tertinggi institusi kewangan Islam di peringkat global dengan enam bank runcit Islam berlesen dan 18 bank borong Islam berlesen.

Pasaran kewangan Islam tradisional lain termasuk Malaysia dan Indonesia, yang mengharapkan bank mega Islam mempercepatkan perkembangan industri. Di Malaysia, cadangan penggabungan antara CIMB Group Holdings Bhd, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd tidak kesampaian disebabkan keadaan ekonomi.

Turki, Indonesia dan Bank Pembangunan Islam telah meningkatkan usaha mereka untuk menubuhkan sebuah ‘bank mega’ dengan sasaran mewujudkan platform untuk bertindak sebagai ‘bank pusat’ bagi peminjam Islam dunia.

Pengarah Eksekutif Pengawalseliaan Perbankan Bank Pusat Bahrain Khalid Hamad yang dalam nada yang sama dengan Kotilaine, berkata keperluan kewangan Islam ialah untuk meningkatkan lagi bank-bank sedia ada dari segi tambahan sumber yang sewajarnya.

“(Juga diperlukan) modal yang besar untuk bersaing dengan cara yang baik dan dapat melaksanakan banyak transaksi,” katanya pada Persidangan Perbankan Islam Dunia di Bahrain akhir tahun lepas.

Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar dalam masa terdekat, menawarkan lebih banyak peluang bagi pembangunan kewangan Islam berikutan peningkatan keperluan untuk instrumen yang lebih selamat dan stabil, termasuk produk kewangan Islam.

Pasaran kewangan Islam telah menunjukkan daya tahan yang kukuh semasa krisis kewangan dunia sebelum ini, kata Timbalan Gabenor Bank Indonesia Dr Halim Alamsyah.

ARTIKEL YANG SAMA