Kewartawanan alam sekitar

Kewartawanan alam sekitar

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Bengkel Kewartawanan sempena Persidangan Hutan Hujan Asia Pasifik (APRS) 2016 diharap akan dapat memperkasa para peserta, khususnya para wartawan, untuk mengukuhkan kepentingan mengenai alam sekitar.

Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali juga berharap agar para peserta akan dapat menyuarakan isu-isu tertentu dan berbahas mengenai peranan semua dalam perkembangan dan impaknya kepada alam sekitar.

Dari sudut pandangan wartawan, tambahnya lagi, para peserta akan lebih memahami kaedah-kaedah dalam penyelidikan sains perhutanan, memupuk sumber saintifik dan mengasah kemahiran laporan mereka melalui ceramah dan lawatan lapangan.

Beliau melahirkan harapan berkenaan, ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran bengkel tersebut yang berlangsung di Pusat Hortikultur Rimba, di sini, hari ini.

Seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada wartawan tempatan dan luar negara termasuk dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Vanuatu, Fiji, Kemboja, Vietnam dan Bolivia menyertai bengkel yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Awang Wardi semasa berucap pada Bengkel Kewartawanan sempena APRS 2016.
Awang Wardi semasa berucap pada Bengkel Kewartawanan sempena APRS 2016.

Sepanjang bengkel itu, beberapa orang ahli sains dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR) akan membimbing para wartawan untuk mencari kisah manusia (human story) dalam bidang sains, memahami data saintifik, serta melawat komuniti hutan untuk melihat cabaran-cabaran yang mereka hadapi.

APRS 2016 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Ogos ini bertujuan untuk membina momentum politik bagi pengurusan hutan dan landskap di Asia Pasifik agar dapat mengimbangi pembangunan ekonomi dan sosial serta persekitaran, di samping meneroka peluang kepelbagaian ekonomi bagi persekitaran sensitif termasuk ekopelancongan dan perdagangan aset biodiversiti.

Melalui sidang kemuncak itu, ia juga akan dapat menghubungkan penggubal dasar, ahli akademik dan sektor swasta serta para pemimpin rangkaian serantau yang terdiri daripada sektor swasta, kerajaan, ahli akademik dan masyarakat sivil untuk berkongsi pengetahuan, penyelidikan dan amalan terbaik di rantau ini.

Selain itu, ia adalah bagi meningkatkan kesedaran awam serantau terhadap potensi nilai perhutanan untuk kepelbagaian ekonomi persekitaran sensitif.

Dengan adanya sidang kemuncak ini, ia akan dapat meningkatkan reputasi Brunei Darussalam di pentas antarabangsa dengan menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak dengan jayanya; memperlihatkan dasar perhutanan Brunei dan kemahiran alam sekitar dan; menyusun aktiviti ekopelancongan untuk para delegasi dan menghubungkan pengendali ekopelancongan dengan pelanggan serta pelabur berpotensi.

ARTIKEL YANG SAMA