Keyakinan pelabur Eropah terhadap Malaysia tetap utuh

Keyakinan pelabur Eropah terhadap Malaysia tetap utuh

AMSTERDAM, 26 Jan – Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, yang kini dalam misi ke Eropah, berpuas hati dengan kunjungannya setakat ini yang turut memaparkan keyakinan pelabur rantau itu terhadap negara ini tetap utuh.

Beliau yang tiba di sini selepas menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Siwtzerland, memberitahu BERNAMA, kalangan pemimpin perniagaan yang hadir pada acara tahunan itu turut menyatakan minat mendalam terhadap Malaysia.

Davos, katanya, juga memberi peluang bagi meraih peluang pelaburan akan datang di Malaysia selain menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negara kekal utuh. “Syarikat asing ternyata amat yakin dengan Malaysia dan kami turut mengetengahkan kekukuhan kepelbagaian ekonomi Malaysia.

“Mesej ini jelas difahami dan diterima pemimpin korporat yang kami temui di Davos serta dalam kunjungan di Belanda. (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mustapa gembira dengan hasil di Davos dan saya sendiri berpuas hati dengan hasil kunjungan ini,” katanya mengenai misi ke Switzerland, Belanda dan United Kingdom.

Mengulas lanjut, Azman berkata, Davos terbukti menjadi platform menarik untuk MIDA kerana menarik penyertaan delegasi kanan yang mewakili kerajaan dan sektor swasta. “Kehadiran kami untuk mewujudkan platform bagi menarik pelaburan menerusi acara sampingan yang kami atur, termasuk majlis makan tengah hari perniagaan dihoskan Menteri.

“Acara anjuran bersama kementerian, MIDA dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Swiss-Asia diadakan untuk 76 pemimpin korporat, termasuk 20 dari Malaysia. – Bernama