KFC ceriakan warga Pusat Ehsan

KFC ceriakan warga Pusat Ehsan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Seramai 120 orang kanak-kanak dan kakitangan pengurusan dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam telah dihiburkan dengan menonton wayang animasi The Good Dinosaur di The Empire Cinema, Jerudong, hari ini.

Acara yang merupakan inisiatif bersama KFC Brunei dengan pihak pengurusan The Empire Cinema itu turut menyaksikan penyampaian cek bernilai $2,000 sebagai sumbangan KFC Brunei kepada pertubuhan amal berkenaan.

Selain menonton wayang yang mengisahkan perjalanan seekor dinosaur dalam mengatasi ketakutannya itu, kanak-kanak berkenaan juga menerima beg cenderhati daripada KFC.

Timbalan Presiden KFC, Del Goh berkata: “Kami gembira kerana dapat memberi sumbangan ke arah kebaikan bersama The Empire Cinema yang sangat menyokong idea berkenaan.”.

Katanya lagi, ini akan menjadi acara tahunan bagi KFC dan The Empire Cinema serta melahirkan harapan agar dapat melaksanakannya setiap tahun untuk membawakan sedikit hiburan dan senyuman kepada kanak-kanak berkenaan.

Del Goh bergambar ramai bersama warga Pusat Ehsan. - Gambar oleh James Kon
Del Goh bergambar ramai bersama warga Pusat Ehsan. – Gambar oleh James Kon

“Kami harap kanak-kanak berkenaan mengalami saat-saat yang menggembirakan dan tidak dapat dilupakan,” ujarnya lagi. Beliau juga menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan The Empire Cinema atas sokongan dan sumbangan yang berterusan.

Orang ramai juga boleh memainkan peranan dalam memberikan sumbangan kepada organisasi amal dengan menderma melalui kotak-kotak sumbangan derma yang diletakkan di cawangan-cawangan KFC.