Kg Kilanas adakan doa kesyukuran

Kg Kilanas adakan doa kesyukuran

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Majlis Perundingan Kampung Kilanas semalam meraikan pelantikan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan tiga orang tokoh kampung itu yang pernah menerima anugerah dalam satu majlis kesyukuran.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada penduduk kampung, jemaah masjid, ahli jawatankuasa dan jemputan khas hadir dalam acara yang diserikan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil diketuai oleh Pegawai Masjid Kampung Kilanas, Haji Alis bin Haji Ibrahim.

Ia juga diselajurkan dengan sembahyang Maghrib dan Isyak berjemaah diikuti Dikir Marhaban dan doa kesyukuran.

Yang Berhormat Pehin menerima cenderamata daripada Dato Seri Setia Haji Awang Mahalle.
Yang Berhormat Pehin menerima cenderamata daripada Dato Seri Setia Haji Awang Mahalle.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Penaung III Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas, Dato Seri Setia Haji Awang Mahalle bin Haji Awang Abdullah kepada Yang Berhormat Pehin. Turut menerima cenderamata ialah tiga tokoh kampung iaitu Haji Abdul Ghafar bin Abdul Ghani selaku penerima bakti Hijrah tahun 2010, Haji Musa bin Haji Mantok selaku penerima bakti Hijrah 2010 dan Dato Seri Setia Haji Awang Mahalle selaku penerima Anugerah Guru Berjasa sempena Sambutan Hari Guru 2015.

Majlis bertujuan memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T daripada penduduk kampung Kilanas atas pelantikan Yang Berhormat Pehin selaku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai anak jati Kampung Kilanas serta sebagai Penaung I Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas.

ARTIKEL YANG SAMA