Khabar angin Empangan Tasek tidak benar

Khabar angin Empangan Tasek tidak benar

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Jabatan Perkhidmatan Air memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak merasa cemas mengenai berita yang disebarkan melalui media sosial mengenai masalah berkurangnya paras air Empangan Tasek.

Menurut kenyataan JKR, hari ini, pihak jabatan sedang melaksanakan projek pemeliharaan dan membaik pulih Empangan Tasek yang telah bermula pada 3 April 2013 dan dijangka siap pada 31 Julai 2015.

Empangan Tasek adalah empangan yang paling awal dibina di negara ini di mana ia mula beroperasi pada awal tahun 1965 dan bagi memastikan keberkesanan fungsinya dalam penyediaan bekalan air yang berterusan, projek membaik pulih telah dilaksanakan.

Kenyataan menambah, antara kerja-kerja utama projek adalah mengganti paip-paip, injap serta komponen-komponen berkaitan yang berada di dalam dan luar struktur menara Draw-off empangan berkenaan. Kerja-kerja ini diperlukan memandangkan keadaan peralatan tersebut tidak berfungsi sepenuhnya dan perlu diganti.

Sehubungan itu, dalam usaha melaksanakan projek ini, penurunan paras air empangan berkenaan adalah diperlukan bagi memudahkan kerja-kerja penggantian injap serta komponen yang berada di luar struktur menara Draw-off.

Penurunan paras air empangan berkenaan telah dilaksanakan pada hujung bulan Februari 2015, dan apabila kerja-kerja pemeliharaan siap nanti, paras air di empangan Tasek akan mula dinaikkan sehingga paras asal.

Sebarang pertanyaan bolehlah mengikuti Facebook Jabatan Kerja Raya, Negara Brunei Darussalam dan menghantar e-mel ke alamat pro@pwd.gov.bn.