Khairunnisa jadi kebanggaan

Khairunnisa jadi kebanggaan

Oleh Siti Hajar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Satu lagi kebanggaan buat negara dilakar apabila seorang pemimpin belia tempatan diiktiraf bagi tugasan dan sumbangannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ratu Elizabeth II, Ratu bagi United Kingdom of Great Britain dan Ireland Utara.

Minggu lalu, Dayang Khairunnisa Ash’ari, yang dikenali bagi peranannya bersama Majlis Belia Brunei dan Persatuan bagi Community Outreach and Training (SCOT), diberikan penghormatan diraikan sendiri oleh Ratu Elizabeth II ketika majlis Penganugerahan Pemimpin Muda Ratu yang diadakan di Buckingham Palace di London bersama dengan 59 orang penerima antarabangsa yang lain dari seluruh dunia.

Dalam satu temu bual menerusi e-mel bersama Media Permata, Khairunnisa yang kini berada di London dan diberi penghormatan atas peranannya dalam perkembangan belia dan pemuliharaan alam sekitar, mengongsikan pengalamannya sebagai antara rakyat Brunei yang berada dalam kedudukan yang boleh menjadi pendorong dan ikutan belia.

“Beramah mesra bersama Ratu Elizabeth di Buckingham Palace adalah satu pengalaman menakjubkan,” kata Khairunnisa, 27, sambil menambah bahawa “Baginda Ratu menyuarakan kekaguman Baginda atas pencapaian kami dan mengucapkan tahniah kepada saya semasa menyampaikan anugerah tersebut.”

Semasa majlis penganugerahan itu, Khairunnisa turut berkesempatan berdampingan dengan tokoh-tokoh terkenal, termasuk Puteri Beatrice of York yang mana Khairunnisa berkesempatan berkongsi pengalaman kerjanya dan bekas bintang bola sepak David Beckham yang turut mengucapkan tahniah kepada para peserta atas pencapaian mereka.

Dayang Khairunnisa semasa menerima anugerah Pemimpin Muda daripada Baginda Ratu Elizabeth. – Gambar ihsan KHAIRUNNISA ASH’ARI
Dayang Khairunnisa semasa menerima anugerah Pemimpin Muda daripada Baginda Ratu Elizabeth. – Gambar ihsan KHAIRUNNISA ASH’ARI
Khairunnisa mengabadikan kenangan bersama Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke UK, Gordon Campbell dan penerima lain. – Gambar ihsan KHAIRUNNISA ASH’ARI
Khairunnisa mengabadikan kenangan bersama Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke UK, Gordon Campbell dan penerima lain. – Gambar ihsan KHAIRUNNISA ASH’ARI

Beliau menyifatkan anugerah yang diterima itu sebagai amat istimewa “lebih daripada menerima pingat.”

Sebagai antara 60 belia yang diiktiraf, Khairunissa juga menimba pengalaman bagi “Minggu Penempatan” di mana dia dan rakan seangkatannya berkunjung ke Goodenough College di London dan Madingley Hall di Cambridge untuk menyertai kursus kepimpinan yang meliputi modul seperti mengutip derma, rangkaian jaringan dan juga pengurusan selain menghadiri dialog bersama Perdana Menteri British, David Cameron di 10 Downing Street sebelum majlis penganugerahan.

“Program tersebut yang melibatkan lawatan ke Red Thread, yang membantu para belia yang melalui pengalaman ganas, “membolehkan kami untuk tidak hanya mempelajari daripada individu-individu hebat dari negara-negara Komanwel lain, tetapi juga bertemu dengan mereka yang menjalankan tugasan luar biasa di UK dan sekitarnya.

“Pada umumnya, anugerah itu bukan hanya mengiktiraf sumbangan kami kepada komuniti kami, tetapi juga membantu membimbing kami dalam meningkatkan tugasan yang kami lakukan.”

Dengan Brunei berazam dalam membantu belia dan membangunkan pemimpin, Khairunnissa menyifatkan kejayaan itu adalah hasil sistem sokongan kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya pendidikan.

Dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang sukarelawan, beliau berkata, ia melibatkan banyak motivasi diri, kerana ada ketikanya ‘anda bertanyakan apakah perlu anda meluangkan banyak masa untuk melakukan tugasan yang tidak dibayar.’

Namun dengan sokongan kuat dari keluarga, ia telah membantunya melalui masa-masa yang sukar terutamanya apabila beliau keluar untuk bertugas, kata Khairunnisa yang bertugas sebagai pembantu penyelidik dan penyelaras projek bagi pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA