Khairy sahkan pegawai KBS disiasat SPRM

Khairy sahkan pegawai KBS disiasat SPRM

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan pegawai kementeriannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan.

Katanya beliau telah dimaklumkan SPRM beberapa minggu lepas tentang siasatan yang dijalankan terhadap pegawai tersebut. Khairy dalam sidang media berhubung perkara itu berkata KBS akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan itu dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh.

“KBS menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya.

SPRM Jumaat lepas menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Modus operandi sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2010 ialah menggunakan bahagian kewangan agensi di kementerian membuat bayaran kepada 14 syarikat bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberikan sidang media mengesahkan bahawa individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan merupakan pegawai Kementerian Belia dan Sukan, kelmarin. – Bernama
Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberikan sidang media mengesahkan bahawa individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan merupakan pegawai Kementerian Belia dan Sukan, kelmarin. – Bernama

Katanya siasatan dalaman KBS mengenal pasti beberapa kelemahan yang menyebabkan berlakunya penyelewengan, antaranya selama beberapa tahun, pegawai berkenaan menyalahgunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan atau pengesahan pihak atasan termasuk menteri dan ketua setiausaha kementerian.

Khairy berkata satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan untuk membuat semakan segera terhadap mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di KBS.

Pasukan siasatan bebas itu akan dilantik KSN dan ia tidak akan melibatkan pegawai dari KBS bagi memastikan tiada kepentingan diri dalam siasatan yang bakal dijalankan, katanya.

“Objektif utama pasukan ini adalah untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam,” katanya, sambil menambah KBS mengalu-alukan cadangan yang bakal dikemukakan pasukan siasatan bebas itu.

Ditanya sama ada KBS akan mengkaji semula projek dan program di bawah kementerian ekoran kes berkenaan, Khairy berkata kes penyelewengan itu hanya khusus kepada bentuk peruntukan yang tidak melibatkan projek pembangunan setakat ini.

Khairy memuji tindakan pantas SPRM dalam kes berkenaan bagi mengelakkan ketirisan berlaku dalam kerajaan serta memberi keyakinan kepada orang awam tiada siapa dilindungi daripada siasatan SPRM.

ARTIKEL YANG SAMA