Khatam 70 kali SMALHB

Khatam 70 kali SMALHB

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun 2016, yang diadakan di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kiulap.

Majlis anjuran Unit Rohani sekolah berkenaan dan dengan kerjasama Jabatan Al-Quran, Hadis, dan Amali itu juga telah diselajurkan dengan solat sunat Hajat untuk memohon ke hadrat Allah SWT agar Peperiksaan BCGCE ‘AS’ dan ‘A’ Level dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Terdahulu, majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Ali bin Haji Hamdan, manakala Doa Khatam pula dibacakan oleh Ketua Unit Al-Quran dan Hadis SMALHB bagi sesi 2016/2017, Awang Basri bin Dr Haji Serbini, dan Doa Hajat pula dibacakan oleh Awang Saiful Wafi bin Haji Adis.

Guru-guru SMALHB yang turut hadir di majlis berkenaan.
Guru-guru SMALHB yang turut hadir di majlis berkenaan.

Majlis yang disertai oleh lebih 100 orang pelajar lelaki dan perempuan SMALHB itu diteruskan dengan Zikir Tanzih Al-Qalb yang diketuai oleh Haji Rosdiman bin Haji Duraman dan bacaan Surah Yasin serta Doa Selamat dibacakan oleh Pengiran Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki.

Kemudian, majlis juga menyaksikan penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar yang akan menunaikan ibadah haji tahun 2016 yang disempurnakan oleh Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Norjainah binti Haji Buntar.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai dan kakitangan dari Jabatan Pendidikan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

ARTIKEL YANG SAMA