Khatam Al-Quran giat dilaksanakan

Khatam Al-Quran giat dilaksanakan

Oleh Lyna Mohamad/ Yusrin Junaidi/ Siti Nur Wasimah S/Mohamad Asyramisyanie/ Haji Ibrahim bin Haji Ratu/Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Bulan Ramadan memiliki banyak keutamaan dibandingkan dengan bulan-bulan lainnya yang mana Al-Quran diturunkan pada bulan tersebut dan ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam juga diwajibkan pada bulan ini.

Sehubungan itu, ahli-ahli Jawatankuasa Muslimah, Biro Wanita dan para jemaah perempuan Masjid Kampung Birau kelmarin telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim yang tinggal di Kampung Birau dan Kampung Luagan Timbaran.

Sumbangan disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking dan Isteri.

Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa Kolej (KIGS) juga telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan tahlil dan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang berlangsung di bangunan kolej berkenaan.

Hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Pengiran Dr. Hajah Fatimah binti PSJ Pengiran Haji Abd Momin; ahli-ahli Lembaga Pengarah, Dato Paduka Haji Mustafa bin Abu Bakar dan Pengiran Haji Mohd Yamin bin PSJ Pengiran Haji Abd Momin; Ketua Kewangan dan Pengurusan Aset, Pengiran Haji Mohd Rahimin bin PSJ Pengiran Haji Abd Momin serta pensyarah kakitangan dan pelajar.

Persatuan Pertiwi Brunei juga tidak ketinggalan untuk sama-sama memuliakan bulan Ramadan dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi tahun 2016 bertempat di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu kehormat majlis, Yang Di-Pertua Persatuan Pertiwi Brunei, Datin Hajah Siti Hajar binti POKSSDP Haji Mohd Yussof.

Majlis Khatam Al-Quran itu diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh ahli Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

Manakala Biro Wanita Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan Daerah Tutong (PAKATAN) juga telah mengadakan majlis yang sama yang berlangsung di Masjid Kampung Penanjong, Tutong.

Seramai 20 orang pembaca perempuan daripada ahli-ahli Biro Wanita PAKATAN telah mengambil bahagian dalam majlis ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Di-Pertua PAKATAN, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi dan para AJK PAKATAN.

Acara diakhiri dengan penyampaian derma oleh Biro Wanita kepada imam Masjid Kampong Penanjong.

Majlis Khatam Al-Quran bagi Guru-guru dan penuntut Tahun 11 Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) pula diadakan kelmarin di Dewan Serbaguna SMSUA.

Seramai 44 orang guru, termasuk Pengetua sekolah berkenaan Hajah Sapiah binti Pengarah Haji Buntar; Timbalan Pengetua Pentadbiran; Haji Mohd Fadhillah bin Haji Ismail, dan Timbalan Pengetua Akademik, Hajah Rosiah binti Haji Gharif, serta sejumlah 122 orang penuntut Tahun 11 telah menyertai majlis ini.

Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Ketua Pejabat Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Jamil bin Haji Gani.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Tetamu kehormat majlis, Seterusnya diikuti dengan bacaan surah-surah lazim dipimpin oleh imam Masjid Kampung Batu Marang.

Majlis diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh Ahli Jawatankuasa Takmir dan para peserta khatam.

Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut, Kluster 2, juga pada pagi tadi telah mengadakan majlis khatam dan penyampaian derma kepada anak yatim yang berlangsung di sekolah berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penasihat Tertinggi PIBG Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut, Dato Seri Setia Haji Abdul Salam bin Abdul Razak.

Majlis pagi tadi itu disertai oleh 41 orang guru dan kakitangan serta ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga murid-murid sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, seramai enam orang anak yatim dari sekolah berkenaan telah menerima sumbangan derma.

Dengan adanya penganjuran majlis seumpamanya ini, ia dapat memperatkan lagi tali silaturahim persaudaraan disamping memohon keberkatan daripada Allah S.W.T di bulan yang mulia ini.

ARTIKEL YANG SAMA