Khatam Al-Quran hiasi 10 malam terakhir Ramadan

Khatam Al-Quran hiasi 10 malam terakhir Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Malam-malam terakhir bulan Ramadan dihiasi dengan majlis keagamaan yang kebanyakannya menyaksikan majlis khatam Al-Quran yang dianjurkan agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan.

Tidak ketinggalan memeriahkan malam-malam penghujung Ramadan ini dengan Majlis Khatam Al-Quran ialah Pejabat Peguam Negara yang juga diselajurkan dengan majlis penyerahan derma kepada kakitangannya yang berlangsung di Bangunan Undang-undang, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh.

Seramai 19 orang kakitangan di jabatan itu menerima sumbangan derma yang disampaikan oleh Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati. Ia merupakan aktiviti tahunan Pejabat Peguam Negara sebagai persediaan perbelanjaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Pejabat Peguam Negara kelmarin.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Pejabat Peguam Negara kelmarin.
Warga Pejabat Peguam Negara semasa Majlis Khatam Al-Quran.
Warga Pejabat Peguam Negara semasa Majlis Khatam Al-Quran.

Dalam pada itu, turut mengadakan majlis khatam ialah Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara di Dewan Serba guna Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-mahkamah Syariah, Jalan Stoney, Bandar Seri Begawan.

Hadir pada majlis itu ialah Ketua Hakim Syari’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar. Turut hadir ialah hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hakim-hakim Syar’ie serta pegawai dan kakitangan di Mahkamah-Mahkamah Syariah dan Jabatan Kehakiman Negara Brunei Darussalam.

Majlis juga diserikan dengan penyampaian sumbangan Hari Raya oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Salim diteruskan dengan majlis bersungkai dan menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah.

Warga Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria turut menyemarakkan bulan Ramadan dengan Majlis Khatam Al-Quran.
Warga Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria turut menyemarakkan bulan Ramadan dengan Majlis Khatam Al-Quran.
Penyampaian sijil Khatam Al-Quran warga Jabatan Bandaran KB dan Seria.
Penyampaian sijil Khatam Al-Quran warga Jabatan Bandaran KB dan Seria.

Manakala 50 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria turut diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan doa kesyukuran yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait.

Ia dihadiri oleh Ketua Pegawai Agama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih bin Tabong serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil khatam Al-Quran oleh Haji Asminan.

Turut mengadakan majlis khatam Al-Quran baru-baru ini ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Batu Marang yang berlangsung di masjid kampung itu.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Ketua Pejabat Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Jamil bin Haji Gani.

Majlis diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh AJK takmir dan para peserta khatam, kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil kepada peserta-peserta tadarus yang disampaikan oleh Haji Jamil.

AJK Takmir Masjid Kampung Batu Marang pada Majlis Khatam Al-Quran di masjid kampung tersebut.
AJK Takmir Masjid Kampung Batu Marang pada Majlis Khatam Al-Quran di masjid kampung tersebut.
Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.
Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.
Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina menyampaikan sumbangan kepada saudara baru.
Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina menyampaikan sumbangan kepada saudara baru.

Majlis seumpama juga turut diadakan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan diselajurkan dengan majlis penyampaian sumbangan derma anak yatim dan ibu tunggal serta meraikan saudara baru UBD dalam majlis yang berlangsung di Masjid UBD.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz. Turut hadir para mahasiswa dan mahasiswi, pensyarah dan para jemputan lainnya.

Seramai 18 saudara baru diraikan di majlis berkenaan yang turut diserikan dengan Dikir Marhaban, manakala tiga orang anak yatim dan empat orang ibu tunggal turut menerima sumbangan Aidilfitri bagi meringankan beban mereka.

ARTIKEL YANG SAMA