Khatam Al-Quran Jubli Emas Kg Setia

Khatam Al-Quran Jubli Emas Kg Setia

Oleh Haslen

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Sempena Ulang Tahun Jubli Emas Kampung Setia, Majlis Khatam Al-Quran telah diadakan di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad Kampung Setia, Kampong Ayer, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan diadakan setelah selesai bacaan Al-Quran 30 juz sebanyak tiga kali, yang disertai oleh ahli-ahli Jawatankuasa Saudara Ku Kampung Setia, murid-murid Sekolah Ugama Pehin Khatib Haji Umar Kampung Setia serta guru-guru agama dan penduduk kampung berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penghulu Mukim Sungai Kebun, Pateh Dato Paduka Haji Masri bin Ismail.

Terdahulu, majlis yang berkebajikan itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Muhammad Syafie@Firdaus bin Tarsat yang merupakan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Antara warga kampung yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran di Kampung Setia.
Antara warga kampung yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran di Kampung Setia.

pg13_150907_c

Manakala itu doa kesyukuran sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun dan doa kesyukuran Sempena Memperingati Jubli Emas Kampung Setia telah dibacakan oleh Imam Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Haji Hassan bin Haji Lusin, yang turut memimpin bacaan Takhtim dan Tahlil.

Majlis anjuran ahli-ahli Saudara Ku Kampung Setia dengan kerjasama penduduk kampung itu akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan, dengan dihasratkan untuk menyatupadukan serta mengeratkan hubungan silaturahim penduduk Kampung Setia, yang kini sebahagiannya telah berpindah ke darat melalui Rancangan Perumahan Negara, Skim Kurnia Tanah Rakyat Jati, berkahwin dan bertugas di luar daerah di negara ini.

Kampung Setia terbahagi kepada dua iaitu Kampung Setia ‘A’ dan ‘B’ di bawah Mukim Sungai Kebun Kampong Ayer, dengan mempunyai penduduk lebih 3,000 orang.

ARTIKEL YANG SAMA