Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara

Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara sempena Tadarus Al-Quran di bulan Ramadan bagi tahun 1436H/2015M berlangsung hari ini di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Jerudong.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Harun Haji Junid hadir selaku tetamu kehormat majlis dan turut disertai pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan daripada KHEU.

Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Al-AMeerah Al-Hajjah Maryam itu juga disertai kumpulan-kumpulan belia masjid seluruh negara serta penduduk kampung berhampiran.

Tetamu kehormat majlis memimpin bacaan Surah Al-Fatihah di awal majlis sebelum diteruskan dengan bacaan surah-surah Khatam, Takhtim dan Tahlil yang dipimpin kumpulan belia Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Jerudong.

Bacaan Doa Khatam Al-Quran, doa Tahlil dan zikir Marhaban serta doa Allah Peliharakan Sultan Negara Brunei Darussalam meneruskan acara majlis sebelum penyampaian sijil yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun yang hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun yang hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut.

Penyampaian sumbangan wakaf turut menyerikan majlis yang disempurnakan tetamu kehormat majlis yang menyampaikan sumbangan berupa jet air kepada wakil masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Menurut kenyataan penganjur, majlis itu bertujuan untuk mendapatkan keberkatan di bulan Ramadan yang Mubarak ini dan sekali gus menjadi penyuntik semangat cinta kepada kitab suci Al-Quran di kalangan belia masjid.

Ia turut berperanan sebagai platform mengeratkan silaturahim di kalangan ahli kumpulan belia masjid seluruh negara dan menjadi wadah menyemarakkan lagi masjid dengan aktiviti keagamaan dalam menuju ke arah hasrat melahirkan sebuah Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA