Khatam Al-Quran pembuka Bulan Bahasa 2015

Khatam Al-Quran pembuka Bulan Bahasa 2015

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Negara Brunei Darussalam memulakan sambutan Bulan Bahasa 2015 hari ini dengan Majlis Khatam Al-Quran dan doa kesyukuran bertempat di Balai Sarmayuda, DBP di Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Aminah binti Haji Momin berkata, Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena sambutan Bulan Bahasa kali ini merupakan yang julung-julung kalinya diadakan berbanding dengan dua tahun kebelakangan iaitu pada 2013 dan 2014, Bulan Bahasa yang turut disambut dalam bulan Ramadan diselajurkan dengan pameran dan kegiatan lain.

Beliau berkata, hasil pengalaman dua tahun berkenaan, maka pada tahun ini pelancaran sambutan bertemakan “Daulatkan Bahasa Melayu” akan diadakan pada 6 Ogos 2015 dengan kerjasama Jabatan Muzium-Muzium, Pusat Sejarah dan juga jabatan sekolah-sekolah, yang diharap dapat memberi impak ke atas pelbagai kegiatan yang akan dilaksanakan.

“Untuk mencapai matlamat itu, pelbagai kegiatan disusun bagi menyemarakkan sambutan Bulan Bahasa tahun ini dengan harapan pendaulatan bahasa Melayu itu akan tetap terus didukung oleh semua pihak dengan penuh semangat, komited, dalam mencintai dan menghargai bahasa sendiri, bahasa ibunda.

“Insya-Allah Bulan Bahasa pada tahun ini akan disambut secara sederhana sahaja tanpa melibatkan kos besar,” ujar Hajah Aminah dalam ucapannya semasa melancarkan majlis tersebut.

Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan ketika menyertai majlis khatam Al-Quran tersebut.
Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan ketika menyertai majlis khatam Al-Quran tersebut.

Terdahulu, Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran, dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan khatam Al-Quran daripada pegawai-pegawai dan kakitangan DBP dan seterusnya doa khatam dibacakan oleh Haji Mohd Azrul Alim bin Haji Zaini, dari Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Majlis diteruskan dengan dikir dan doa kesyukuran serta penyampaian Derma Anak-Anak Yatim yang disampaikan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.