Khatam Al-Quran penutup tadarus KHEDN

Khatam Al-Quran penutup tadarus KHEDN

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Ibu Pejabat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai mengakhiri siri tadarus 30 Juzuk Al-Quran dalam bulan Ramadan bagi pegawai dan kakitangannya.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis itu merupakan acara keagamaan tahunan ibu pejabat dan diadakan bagi menyemarakkan lagi kesucian bulan Ramadan yang diharapkan akan dapat meningkatkan amalan hidup beragama dan memperbaiki mutu kerja melalui penghayatan ajaran Al-Quran.

Sejurus selepas solat fardu Zohor berjemaah, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin membuka tirai majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran dan Takhtim sebelum diteruskan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Penolong Pentadbir KHEDN, Haji Zulkifli bin Haji Kula.

Doa Khatam dan Doa Tahlil menyusuli acara majlis sebelum diteruskan pula dengan penyampaian sumbangan derma pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN kepada dua orang anak yatim, lima orang anak berkeperluan khas dan empat orang ibu yang terdiri daripada warga KHEDN.

ARTIKEL YANG SAMA