Khatam Al-Quran Sekolah Ugama Keriam

Khatam Al-Quran Sekolah Ugama Keriam

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Okt – Sekolah Ugama (SU) Keriam, kelmarin, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi 23 orang murid Darjah 6, yang terdiri daripada 14 murid lelaki dan sembilan murid perempuan, yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Keriam, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pengajian Islam di Jabatan Pengajian Islam cawangan Daerah Tutong, Hajah Norhayati binti Haji Sawal.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh para peserta Khatam Al-Quran.

Kemudian, majlis diserikan lagi dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah 4 dan 5 dan diikuti dengan Dikir Ash Rakal oleh murid-murid lelaki Darjah 4 dan 5 sebelum penyampaian sijil dan merenjis minyak wangi oleh tetamu kehormat.

Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah 6 sekolah-sekolah agama merupakan sebahagian daripada projek tahunan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama sejak tahun 1985.

Seramai 23 orang murid Darjah 6 sekolah berkenaan dirai pada majlis khatam tersebut.
Seramai 23 orang murid Darjah 6 sekolah berkenaan dirai pada majlis khatam tersebut.

Untuk memastikan murid-murid telah khatam, mereka diarahkan untuk membaca Al-Quran di rumah sejak dari Darjah 4 mengikut juz yang telah ditetapkan dengan mendapat pengesahan daripada ibu bapa atau guru-guru agama di sekolah masing-masing.

Antara tujuan majlis ini diadakan adalah bagi menggalakkan murid-murid sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan betul dan lancar, memastikan supaya murid-murid berkenaan khatam membaca Al-Quran 30 Juzuk sebelum mereka meninggalkan atau menamatkan Darjah 6 sekolah agama di samping mengeratkan kerjasama dan perpaduan di antara ibu bapa, guru-guru dan para murid dalam sama-sama mengendalikan majlis keagamaan di sekolah-sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA