Khatam Al-Quran semarakkan bulan Ramadan

Khatam Al-Quran semarakkan bulan Ramadan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Dalam sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei Muara telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Daerah Brunei Muara tahun 1436 Hijrah.

Majlis yang berlangsung di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Kampung Rimba itu dihadiri oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, selaku tetamu kehormat.

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat lazim dan takhtim serta doa khatam oleh Imam Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Haji Tarmiji bin Haji Mohd Daud.

Kemudian, majlis diikuti dengan Dikir Marhaban, Ashraqal oleh ahli-ahli jawatankuasa dan jemaah masjid berkenaan.

Acara diteruskan lagi dengan penyampaian sijil penyertaan kepada ketua-ketua zon masjid oleh tetamu kehormat majlis kemudian penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.

Bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Awang Mohammad bin Haji Bagol.

Majlis yang dikelolakan bersama dengan Jawatankuasa Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ini bertujuan untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan amal ibadat dan kebajikan, selain sebagai salah satu wadah dalam menyatupadukan dan mengukuhkan jalinan kerjasama serta silaturahim dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, surau, balai ibadat itu sendiri.

Di samping itu, ia juga untuk menghargai sumbangan dan kerjasama yang dihulurkan oleh mereka dalam membantu apa jua pekerjaan atau tugas pegawai-pegawai masjid selama ini.

ARTIKEL YANG SAMA