Khatam Al-Quran semarakkan Ramadan

Khatam Al-Quran semarakkan Ramadan

Oleh Siti Nur Wasimah S., Pg Fairol RMF, Syahmi Hassan & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Bulan Ramadan kini memasuki minggu ketiga, dan majlis-majlis keagamaan terus giat dilaksanakan oleh umat Islam di negara ini bagi menyemarakkan lagi dan meraih keberkatan di bulan yang suci ini, seperti mengadakan majlis khatam Al-Quran.

Antara yang mengadakan majlis Khatam Al-Quran, hari ini, ialah Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga selaku Pengerusi Lembaga TAP.

Majlis itu adalah merupakan aktiviti tahunan sempena bulan Ramadan yang dikendalikan oleh Badan Kebajikan dan Sukan TAP (BKSTAP).

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran TAP di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran TAP di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Dr Hajah Maslina menyampaikan sijil kepada para peserta Khatam Al-Quran Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan.
Dr Hajah Maslina menyampaikan sijil kepada para peserta Khatam Al-Quran Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan.

Manakala itu, seramai 44 orang pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan pula telah menyertai majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Maslina binti Haji Mohsin.

Majlis tahunan yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Pergigian di bulan Ramadan ini telah dimulakan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam yang diketuai oleh Pemangku Pakar Pergigian, Dr. Haji Mohin bin Haji Momin dan seterusnya disusuli dengan bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban beramai-ramai.

Acara kemudiannya diikuti dengan penyampaian sijil dan bunga telur kepada para peserta dan sumbangan derma kepada tiga orang anak yatim dan empat orang daripada golongan yang berhak menerima bantuan kewangan bagi pegawai dan kakitangan di Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Majlis Khatam Al-Quran PEKERTI Cawangan B2 1437H/2016M anjuran Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), pula telah disertai oleh seramai 28 orang polis wanita Balai Polis Lapangan Terbang dan JSKLL serta isteri dan anak-anak anggota polis.

Antara peserta yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran PEKERTI Cawangan B2 yang berlangsung di Dewan Serba Guna JSKLL.
Antara peserta yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran PEKERTI Cawangan B2 yang berlangsung di Dewan Serba Guna JSKLL.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua PEKERTI, Datin Hajah Kamariah binti Haji Abdul Hamid.

Turut hadir ialah pengerusi dan timbalan pengerusi PEKERTI Cawangan B2, para jemputan, ahli-ahli jawatankuasa majlis serta para peserta.

Selepas majlis Khatam Al-Quran, ia diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran dan majlis bersungkai.

Sementara itu, di Daerah Temburong, majlis sempena bulan Ramadan Al-Mubarak itu juga telah diadakan bagi lebih 50 orang guru agama dari beberapa buah sekolah agama di daerah itu.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Dakwah Daerah Temburong, Haji Hazimin bin Haji Metali.

Antara pengisian majlis ialah bacaan Surah Al-Mulk yang dipimpin oleh Awang Muhammad Fahmi bin Haji Ahim, sementara itu, bacaan Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan pula dipimpin oleh Awang Mohd Afindi bin Abdullah.

Antara matlamat majlis adalah untuk menggalakkan para guru sentiasa membaca Al-Quran dengan baik dan lancar, selain diharap dapat mengeratkan kerjasama dan perpaduan di antara guru-guru sekolah agama dengan pegawai pengajian Islam dan pegawai dari Unit Dakwah Daerah Temburong secara amnya.

Awang Abdullah menyampaikan bunga telur kepada salah seorang peserta khatam STAR di Daerah Temburong. - Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Awang Abdullah menyampaikan bunga telur kepada salah seorang peserta khatam STAR di Daerah Temburong. – Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Sebahagian daripada guru-guru agama perempuan yang turut serta dalam majlis khatam di Daerah Temburong, kelmarin. – Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Sebahagian daripada guru-guru agama perempuan yang turut serta dalam majlis khatam di Daerah Temburong, kelmarin. – Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Di daerah ini juga, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi 27 orang pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Sempena Tadarus di Bulan Ramadan bagi Daerah Temburong Tahun 1437H/2016M yang berlangsung di Dewan Sekolah Persediaan Arab Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Abdullah bin Namit. Turut hadir ialah pegawai pengajian Islam Daerah Temburong, tenaga pengajar dan para pelajar serta keluarga pelajar yang diraikan.

Program seumpamanya merupakan salah satu daripada projek atau rancangan JPI dengan dikendalikan oleh Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Bahagian Pelajaran Lanjutan yang mana ia melibatkan gerak kerja tenaga pengajar STAR di setiap daerah.

ARTIKEL YANG SAMA